AGENDA

Tiga pembantu rumah tidak dibayar gaji diselamatkan polis

31 Jul 2024, 3:39 PM
Tiga pembantu rumah tidak dibayar gaji diselamatkan polis

KUALA LUMPUR 31 JULAI: Tiga pembantu rumah warga asing yang disyaki tidak dibayar gaji sejak enam bulan lalu diselamatkan polis dan seorang majikan wanita ditahan dalam Op Pintas di Bandar Rimbayu di Kuala Langat, semalam.

Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman SAC Soffian Santong berkata operasi itu dilakukan Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

"Dua pembantu rumah warga Indonesia dan seorang rakyat Nepal yang berusia dalam lingkungan umur 30 hingga 44 tahun itu diselamatkan di sebuah kediaman dua tingkat pada 11 malam.

"Polis turut menahan seorang wanita tempatan berusia 62 tahun yang juga majikan mangsa serta seorang wanita Indonesia berusia 37 tahun," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mangsa dipercayai bekerja di rumah itu tanpa bayaran sementara menunggu mendapat pekerjaan di tempat lain.

Siasatan awal mendapati suspek yang disyaki ejen pembantu rumah tidak berdaftar dan menjanjikan mangsa dengan gaji RM1,200 sebulan.

Beliau berkata suspek yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat bagi siasatan lanjut.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619