AGENDA

PTPTN lanjut kempen bayar tunggakan serendah RM300

31 Jul 2024, 7:21 AM
PTPTN lanjut kempen bayar tunggakan serendah RM300

KUALA LUMPUR, 31 JULAI: Susulan sambutan menggalakkan, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melanjutkan Kempen Strukturkan Pinjaman Anda Serendah RM300 khas untuk peminjamnya hingga 30 Sept ini.

PTPTN dalam kenyataan hari ini menyebut tempoh kempen itu dilanjutkan daripada dua bulan yang berakhir hari ini kepada empat bulan bermula 1 Jun lepas.

Kempen itu terbuka kepada semua peminjam PTPTN yang mempunyai tunggakan dalam tempoh kempen sama ada pinjaman konvensional atau Ujrah.

Menurut PTPTN, peminjam perlu membuat bayaran tunggakan serendah RM300 untuk penstrukturan semula pinjaman dan diwajibkan membuat potongan gaji atau debit terus sebagai kaedah bayaran balik.

“Penstrukturan semula memberi kemudahan kepada peminjam untuk mengubah struktur jadual bayaran balik dan menetapkan ansuran bulanan berdasarkan kemampuan peminjam. Ini bagi memastikan peminjam dapat membuat bayaran balik secara konsisten dan teratur.

“Selain penstrukturan, peminjam juga boleh membuat rundingan bayaran balik yang lain seperti pertukaran Ujrah, penggabungan pinjaman dan penjadualan semasa tempoh kempen ini,” menurut kenyataan itu.

Pengerusi PTPTN Datuk Seri Norliza Abdul Rahim dalam kenyataan sama berkata pelanjutan tempoh kempen itu bagi memberi peluang kepada peminjam membuat rundingan bayaran balik dan membantu peminjam merancang semula ansuran bayaran balik demi mencapai sifar tunggakan.

“Melalui pelanjutan tempoh kempen ini, peminjam mempunyai tunggakan pinjaman boleh mengambil peluang untuk membayar tunggakan serendah RM300 dan membuat penstukturan semula pinjaman sekali gus dapat memperbaiki rekod kredit peminjam,” katanya.

Peminjam boleh menghubungi PTPTN melalui Careline PTPTN di 03-2193 3000 atau Live Chat di portal www.ptptn.gov.my bagi pertanyaan lanjut berkaitan kempen itu dan rundingan bayaran balik.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619