AGENDA

Tuntut Sabah, Anwar tegaskan tiada tolak ansur, setiap inci negara dipertahan

30 Jul 2024, 5:51 AM
Tuntut Sabah, Anwar tegaskan tiada tolak ansur, setiap inci negara dipertahan

PUTRAJAYA, 30 JULAI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan terus mempertahankan setiap inci kedaulatan negara dan tidak sesekali bertolak ansur terhadap sebarang tuntutan, termasuk yang berkaitan Sabah.

"Tuntutan Filipina terhadap Sabah.. kerajaan Malaysia buat kenyataan tegas, tidak akan bertolak ansur satu inci tanah rakyat kita, tidak mungkin kita terlibat dalam apa-apa perundingan yang melibatkan hak dan kedaulatan negara," katanya.

Anwar berkata walaupun ada tuntutan Filipina terhadap Sabah, namun hubungan diplomatik antara Malaysia dan negara itu amat baik, termasuk hubungan peribadi beliau dengan Presiden Ferdinand Marcos Jr yang berada di tahap yang sangat rapat dan akrab.

"Oleh itu jalur ini harus dimanfaatkan untuk menjaga keselamatan. Pasukan kita harus mengerti sejarah telah membuktikan bahawa serangan seperti yang berlaku di Sabah beberapa tahun lepas berlaku dalam keadaan tidak diduga," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Bulan Keselamatan Negara 2024, di sini hari ini.

Sebelum ini tular satu video di media sosial yang mengandungi kandungan tidak berasas, mengelirukan serta mempertikaikan kedaulatan negeri Sabah sebagai sebahagian daripada Malaysia, dan semalam Kementerian Luar dalam kenyataan menegaskan pendirian kerajaan bahawa Sabah sentiasa merupakan sebahagian penting daripada Malaysia.

Menurut kenyataan itu Sabah telah diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dan masyarakat antarabangsa sebagai sebahagian daripada Malaysia sejak pembentukan Persekutuan Malaysia pada 16 Sept 1963.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619