EXCO

EXCO: Jabatan, agensi digalak pasang sistem solar, bantu jimat tenaga

25 Jul 2024, 9:18 AM
EXCO: Jabatan, agensi digalak pasang sistem solar, bantu jimat tenaga

Oleh ALIFF HAIQAL MOHAMED

SHAH ALAM, 25 JULAI: Kerajaan Negeri menggalakkan jabatan serta agensi kerajaan memasang sistem solar di premis atau bangunan masing-masing, kata EXCO Alam Sekitar.

Jamaliah Jamaluddin berkata selain membantu mengurangkan kos penggunaan tenaga, usaha itu juga dapat memberdayakan teknologi hijau.

Beliau berkata usaha menggalakkan pemasangan tenaga boleh diperbaharui itu sebelum ini lebih tertumpu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pejabat daerah namun kini diperluaskan ke agensi serta jabatan kerajaan.

"Saya rasa sekiranya kita nak menguar-uarkan memupuk kesedaran kepada orang ramai perkara yang paling penting adalah ia dilaksanakan kita dahulu, agensi kerajaan dalam membuktikan inisiatif seperti ini membawa manfaat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian solar antara Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bersama Tenaga Nasional Berhad dan GSPARX Sendirian Berhad di Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam hari ini.

Majlis itu disempurnakan Pengarah Jais, Dato' Mohd Shahzihan Ahmad bersama Ketua Retail Negeri (Selangor) TNB Berhad, Ir Ahmad Barodi Che Noh serta Pengarah Urusan GSPARX Sendirian Berhad, Elmie Fairul Mahsuri.

Mengulas lanjut kerjasama itu, Jamaliah memuji usaha Jais menjadi antara agensi awal melaksanakan pemasangan sistem solar di tanah dan bangunan bawah seliaan agensi itu.

Sementara itu, Mohd Shahzihan berkata Jais sentiasa komited dan menyokong usaha memperluas projek pemasangan sistem solar di negeri ini.

"Sehingga kini, 25 bangunan terdiri sekolah, pejabat agama, surau serta masjid telah mendapat kelulusan untuk melaksanakan pemasangan sistem solar bersama syarikat ini.

"Jais mensasarkan lebih banyak bangunan di bawah seliaan agensi ini melaksanakan usaha itu pada masa hadapan," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619