AGENDA

Lebih 400 pengusaha durian rugi puluhan ribu ringgit akibat haiwan perosak

24 Jul 2024, 5:06 AM
Lebih 400 pengusaha durian rugi puluhan ribu ringgit akibat haiwan perosak

GUA MUSANG, 24 JULAI: Lebih 400 pengusaha durian sekitar kebun Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Kesedar Sungai Terah di sini mengalami kerugian puluhan ribu ringgit akibat ancaman haiwan perosak seperti tupai dan monyet.

Salah seorang pengusaha Mohd Johan Awang Chik, 55, berkata beliau mengalami kerugian itu sejak tahun lepas apabila hampir 90 peratus daripada keseluruhan hasil durian yang ditanam musnah akibat haiwan perosak berkenaan.

"Haiwan perosak seperti tupai dan monyet datang secara berkumpulan dengan menyerang tanaman seluas kira-kira 800 hektar di kawasan ini terutama ketika buah durian hampir masak termasuk durian jenis Musang King.

"Selain itu ada juga pekebun terserempak dengan babi hutan dan beruang yang datang memakan hasil tanaman mereka," katanya ketika ditemui pemberita di kebun RPT Kesedar Sungai Terah, di sini, semalam.

Beliau berkata kehadiran haiwan itu secara tidak terkawal akan menyebabkan buah durian berlubang dan buruk sehingga mengakibatkan pekebun tidak dapat menjual buah durian tersebut.

"Saya terpaksa mengupah penduduk Orang Asli yang tinggal sekitar kebun untuk sumpit haiwan-haiwan perosak tersebut sebab kalau tidak dijaga pada musim durian, kami semua langsung tidak dapat makan hasil daripada buah ini.

"Saya harap agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dapat membantu pekebun menangani masalah yang berlaku," katanya.

Mohd Rosdi Ayub, 54, pula berkata kejadian ini mungkin berlaku disebabkan habitat asal haiwan itu diteroka sehingga menyebabkan ia mencari tempat lain seperti kebun getah dan buah-buahan.

"Ancaman ini bermula sejak tahun lepas dan semakin menjadi-jadi pada Mei ketika pokok mula mengeluarkan hasil terutama musim durian," katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619