AGENDA

SPR: Daftar pemilih tambahan Jun 2024 dibuka untuk semakan

23 Jul 2024, 9:48 AM
SPR: Daftar pemilih tambahan Jun 2024 dibuka untuk semakan

KUALA LUMPUR, 23 JULAI: Daftar Pemilih Tambahan Bulan Jun Tahun 2024 (DPT BLN6/2024) telah diperaku dan diwartakan hari ini dan semakan dibuka selama 30 hari bermula hari ini, kata Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak.

Beliau berkata DPT BLN6/2024 itu mengandungi 37,242 nama warganegara berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 30 Jun 2024 yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu, 5,054 pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 4,785 pemilih bertukar status atau kategori pengundi.

“SPR menyeru kepada warganegara berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 30 Jun 2024 dan mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran status, untuk menyemak nama mereka dalam DPT BLN6/2024,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ikmalrudin berkata SPR menyediakan lima kaedah semakan bagi DPT BLN6/2024 iaitu melalui portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my; portal rasmi pejabat pilihan raya negeri http://ppn.spr.gov.my dan aplikasi dalam talian https://myspr.spr.gov.my.

Kaedah lain termasuk aplikasi mudah alih MySPR Semak atau talian Semakan Pendaftaran Pemilih di talian 03-88927218.

Ikmalrudin berkata sekiranya pemilih mendapati nama mereka tidak disenaraikan dalam DPT BLN6/2024, pemilih tersebut boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke pejabat pilihan raya negeri yang berkenaan.

Beliau berkata pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang membuat semakan dan berhasrat melakukan bantahan terhadap kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan rayanya, perlu mengisi Borang D melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke pejabat pilihan raya negeri yang berkenaan.

Borang C dan Borang D juga boleh dimuat turun portal pejabat pilihan raya negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan perlu dikemukakan kepada pengarah pilihan raya negeri berkenaan untuk membuat serahan dan membayar fi bantahan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh semakan DPT BLN6/2024.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619