AGENDA

Rusuhan di Bangladesh, pesawat bawa pulang rakyat Malaysia berlepas dari KLIA

23 Jul 2024, 12:40 AM
Rusuhan di Bangladesh, pesawat bawa pulang rakyat Malaysia berlepas dari KLIA

SEPANG, 23 JULAI: Penerbangan khas atas arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membawa pulang rakyat Malaysia dari Bangladesh susulan ketegangan di negara itu berlepas pada 7.30 pagi ini dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2, di sini.

Penerbangan AirAsia menggunakan pesawat Airbus A330 wide body atau badan lebar yang mampu memuatkan 350 penumpang itu dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal, Dhaka pada 9.20 pagi (waktu tempatan).

Setiausaha Bahagian Asia Selatan dan Asia Tengah Kementerian Luar Datuk Dr Shazelina Zainul Abidin yang mengetuai misi berkenaan berkata lebih 100 rakyat Malaysia termasuk pelajar telah ditempatkan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka sejak semalam.

“Misi ini sebenarnya dirancang sejak 12 Julai, pelaksanaannya pula mengambil masa paling singkat, kurang 12 jam. Sebaik sahaja dapat 'lampu hijau’ daripada Pesuruhjaya Tinggi kita di Bangladesh, kami dapatkan kapal terbang, ada kelewatan sikit sebab kita diminta tunggu untuk pastikan pelajar-pelajar kita sampai di Suruhanjaya Tinggi kita di Dhaka,” katanya kepada Bernama.

Sebanyak 15 petugas daripada Wisma Putra, Jabatan Perdana Menteri, Majlis Keselamatan Negara dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) mengikuti misi itu.

Wakil Bernama yang mengikuti misi berkenaan ialah Penolong Editor (Perkhidmatan Berita Am) Nik Nurfaqih Nik Wil bersama jurufoto Muhammad Izzuddin Abd Radzak.

Semalam, Anwar ketika merasmikan Persidangan Cukai Kebangsaan 2024 di sini dilaporkan berkata kerajaan memutuskan untuk membawa pulang pelajar Malaysia di Bangladesh kerana mengutamakan keselamatan mereka, berikutan ketegangan yang memuncak di negara itu.

Beliau berkata ia susulan pemantauan Kementerian Luar terhadap perkembangan mutakhir di Bangladesh.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619