AGENSI

SUKMA 2024: Kelajuan jadi senjata skuad ragbi wanita Selangor

22 Jul 2024, 9:23 AM
SUKMA 2024: Kelajuan jadi senjata skuad ragbi wanita Selangor

SHAH ALAM, 22 JULAI: Selepas terpaksa berpuas hati di tempat kedua pada edisi Sukan Malaysia (SUKMA) 2022, skuad ragbi wanita Selangor optimis dapat menebus kekecewaan dan mengutip pingat emas pada kejohanan dwitahunan itu di Sarawak, bulan hadapan.

Mengambil pengajaran daripada edisi lepas, jurulatihnya Mohammad Faiz Samsukhidir berkata barisan kejurulatihan telah bekerja keras memantapkan pasukan dengan merekrut pemain-pemain baharu, khususnya yang mempunyai keupayaan dari aspek kepantasan dan kekuatan fizikal.

Beliau berkata kekurangan dari segi pemain yang memiliki kepantasan dikenal pasti menjadi antara faktor kegagalan skuad ragbi wanita Selangor memenuhi impian memenangi pingat emas pada kejohanan itu dua tahun lepas.

“Perbezaan ketara antara skuad sekarang dengan pasukan 2022 adalah kelajuan. Sekarang pasukan memiliki beberapa pemain yang boleh bertindak selaku 'pelari pecut' berbanding hanya seorang sahaja pada skuad 2022.

"Dengan kelebihan itu serta barisan pemain yang lebih mantap dari segi kekuatan dan juga prestasi yang agak seimbang antara pemain utama dan simpanan, kita yakin skuad ini mampu memberi cabaran dan berupaya menebus kegagalan pada kejohanan lalu," katanya kepada Bernama.

Pada SUKMA 2022, skuad ragbi wanita Selangor tumpas pada perlawanan akhir kepada pasukan Kedah dengan jaringan 17-12.

Mengulas mengenai persiapan pasukan, Mohammad Faiz berkata kesemua pemain memberikan komitmen yang tinggi semasa latihan dan telah bersedia dari segi fizikal dan mental bagi memulakan pemburuan pingat emas pada temasya yang akan bermula pada 17 hingga 24 Ogos ini.

Beliau berkata kekangan utama ialah waktu latihan yang agak terhad memandangkan hampir 80 peratus pemain terdiri daripada pelajar sekolah dan enam daripada mereka akan menghadapi Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) tahun ini.

"Saya yakin skuad ini mampu memberikan cabaran dan kepantasan akan menjadi senjata utama dalam menjayakan misi pasukan memenangi pingat emas," katanya yang menjangkakan saingan sengit daripada pasukan Sarawak, Labuan dan Terengganu.

Selain ragbi, kontinjen Selangor yang pernah muncul juara keseluruhan sebanyak sembilan kali, menyasarkan 61 pingat emas pada edisi kali ini menerusi renang, olahraga, memanah, tenis dan badminton.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619