AGENDA

Kes Nur Farah: Forensik temui kunci kereta di Sungai Trolak

22 Jul 2024, 5:30 AM
Kes Nur Farah: Forensik temui kunci kereta di Sungai Trolak

SLIM RIVER, 22 JULAI: Unit Siasatan Forensik Sub Akuatik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menemukan kunci kereta dipercayai ada kaitan dengan pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah ketika melakukan pencarian bahan bukti di Sungai Trolak Kampung Batu 4 di sini hari ini.

Berdasarkan pemerhatian di lokasi, kunci itu ditemukan penyelam unit berkenaan kira-kira 11.20 pagi pada jarak 50 meter dari jambatan kecil sungai itu yang dipercayai menjadi lokasi suspek membuang barangan milik mangsa.

Terdahulu tiga kenderaan termasuk dua pacuan empat roda tiba di kampung itu bagi menyambung pencarian bahan bukti yang ditangguh Jumaat lalu akibat arus deras dan keruh susulan hujan lebat.

Seramai lima penyelam unit itu melakukan pencarian pada radius 300 meter dari jambatan berkenaan.

Antara barangan milik Nur Farah Kartini yang dicari difahamkan melibatkan kelengkapan solat, beg duit dan pengecas telefon bimbit.

Sementara itu, unit berkenaan turut menemukan satu lagi bahan bukti penting iaitu dompet dipercayai milik Nur Farah Kartini di sungai tersebut.

Dompet itu ditemukan 12.20 tengah hari tadi kira-kira lima meter dari lokasi kunci berkenaan ditemukan.

Ketika ditanya sama ada terdapat kad pengenalan Nur Farah Kartini dalam dompet tersebut, penyelam terbabit berkata, "ada".

Pasukan penyelam menamatkan operasi pencarian mereka pada kira-kira 1 tengah hari selepas berpuas hati dengan kerja pencarian hari ini.

Nur Farah Kartini, 25, dilaporkan hilang 10 Julai lalu sebelum mayatnya ditemukan di sebuah ladang kelapa sawit di Hulu Selangor kira-kira 6 petang pada 15 Julai.

Susulan itu, lelaki berusia 26 tahun yang juga anggota polis bertugas di Perak kini direman untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619