AGENDA

Pencarian bukti kes Nur Farah diteruskan di kebun ubi

20 Jul 2024, 12:11 PM
Pencarian bukti kes Nur Farah diteruskan di kebun ubi

KUALA LUMPUR, 20 JULAI: Polis hari ini meneruskan operasi pencarian bahan bukti kes pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah di sebuah kebun ubi di Kampung Klan Halt, Slim River, Perak.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor DSP Mohd Asri Mohd Yunus berkata suspek sebelum ini dipercayai mengusahakan kebun ubi berkenaan secara sambilan.

Pada masa sama beliau berkata polis sedang menganalisa kad SIM suspek yang juga anggota polis berpangkat Lans Koperal bagi mencari bukti baharu untuk membantu siasatan kes.

“Polis turut menganalisa kereta jenis Toyota Vios berwarna merah yang dirampas semasa suspek ditahan pada Isnin lepas,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Asri berkata operasi mencari bahan bukti di Sungai Trolak di Kampung Batu 4, Slim River oleh Unit Siasatan Forensik Sub Akuatik Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih tidak dapat diteruskan berikutan keadaan cuaca dan arus sungai yang deras.

Nur Farah Kartini, 25, dilaporkan hilang pada 10 Julai lepas sebelum mayatnya ditemukan di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, kira-kira 6 petang pada 15 Julai.

Susulan itu, seorang lelaki berusia 26 tahun yang juga anggota polis bertugas di Perak ditahan dan direman hingga Isnin ini untuk membantu siasatan kes terbabit mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Jenazah Nur Farah Kartini selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Nyiur Manis, Pekan, Pahang pada Khamis lepas.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619