AGENDA

Agensi Keselamatan Siber Negara pantau rapi, kurangkan kesan gangguan IT global

19 Jul 2024, 11:42 AM
Agensi Keselamatan Siber Negara pantau rapi, kurangkan kesan gangguan IT global

KUALA LUMPUR, 19 JULAI: Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) memantau rapi dan bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan untuk mengurangkan kesan dan memulihkan semula operasi sektor terjejas secepat mungkin susulan gangguan sistem teknologi maklumat (IT) global.

NACSA ​​dalam kenyataan hari ini memaklumkan gangguan yang menjejaskan pengguna Microsoft di seluruh dunia termasuk Malaysia itu telah memberi kesan kepada pelbagai sektor kritikal seperti saluran televisyen, lapangan terbang dan bank.

“Di Malaysia, kita dapati terdapat gangguan operasi dalam bidang utama sebagai contoh, operasi di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) telah terjejas, menyebabkan daftar masuk secara manual dan masa menunggu yang panjang.

“Bank turut menghadapi gangguan sistem yang mengganggu transaksi dan perkhidmatan pelanggan. Kami ingin menjelaskan bahawa ini bukan serangan siber tetapi ini isu keselamatan siber yang penting,” menurut kenyataan itu.

NACSA ​​menyebut kesan gangguan IT itu terhadap Malaysia adalah besar kerana ia menyebabkan kelewatan dan cabaran operasi merentasi pelbagai sektor yang menjejaskan perniagaan dan orang awam.

Bagi menangani situasi itu, NACSA ​​mengesyorkan pihak terlibat untuk sentiasa berwaspada dan memantau secara berterusan pengumuman, penyelesaian dan kemas kini daripada vendor selain memantau dan menguruskan sebarang penyelesaian sementara untuk mengurangkan potensi risiko baharu.

“NACSA ​​komited untuk memastikan keselamatan dan daya tahan infrastruktur siber negara. Kami akan terus memberikan sokongan dan bimbingan kepada organisasi terjejas pada masa yang mencabar ini.

"Kami sedang dalam proses mengumpul statistik lebih terperinci dan akan memberikan kemas kini selanjutnya apabila ia tersedia," menurut kenyataan itu.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619