AGENDA

Kerajaan tubuh jawatankuasa khas tangani buli siber

19 Jul 2024, 5:17 AM
Kerajaan tubuh jawatankuasa khas tangani buli siber

KUALA LUMPUR, 19 JULAI: Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini bersetuju untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menangani isu buli siber di negara ini, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata jawatankuasa itu akan melibatkan Kementerian Komunikasi, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Digital dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi).

Beliau berkata jawatankuasa itu juga akan disokong pasukan khas melibatkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Peguam Negara.

“Kita (Jemaah Menteri) berpandangan perlu ada satu tindakan lebih tegas terhadap platform media sosial untuk kes buli siber ini, (pengendali) tidak boleh lepas tangan sahaja dan perlu sama-sama bertanggungjawab untuk atasi isu buli siber ini.

“Jadi kita (jawatankuasa) akan meneliti perincian akta, lihat secara menyeluruh aspek perundangan dan (melakukan) pindaan (pada undang-undang) serta apa juga tindakan lain yang kita rasakan perlu untuk tangani isu buli siber ini,” katanya kepada Bernama.

Beliau yang juga Menteri Pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-acara Sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 ditemui media selepas meninjau raptai istiadat berkenaan di Istana Negara di sini hari ini.

Fahmi berkata penubuhan jawatankuasa khas dan pasukan khas itu amat penting kerana ia berupaya menggunakan semua kepakaran yang ada terkait perkara berkenaan, merentasi kementerian dan agensi.

“Kerana isu buli siber ini, (ditambah) dengan adanya platform-platform media sosial baharu, malah platform yang belum muncul, termasuk teknologi seperti AI (kecerdasan buatan), kita perlu menggembleng segala kepakaran yang kita miliki termasuk daripada aspek teknikal untuk tanganinya,” katanya.

Beliau berkata pihaknya pada masa sama terbuka dan mengalu-alukan kerjasama serta penglibatan kementerian lain dalam bersama menangani isu buli siber.

Pada sidang media pascamesyuarat jemaah menteri Jumaat lepas, Fahmi berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meminta SKMM dan pihak polis mengambil tindakan tegas terhadap kes membabitkan buli siber.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619