AGENDA

Pekebun kes keropok beracun dibebas dengan jaminan polis

18 Jul 2024, 1:03 AM
Pekebun kes keropok beracun dibebas dengan jaminan polis

KULIM, 18 JULAI: Seorang lelaki berusia 33 tahun yang direman bagi membantu siasatan berhubung kejadian dua beradik maut akibat termakan keropok mengandungi racun, dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Polis Daerah Kulim Supt Mohd Azizul Mohd Khairi berkata suspek yang merupakan seorang pekebun itu, direman sejak 11 Julai sehingga semalam.

“Tempoh reman tidak akan disambung dan suspek dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu keputusan timbalan pendakwa raya.

“Kertas siasatan sudah lengkap dan diserahkan kepada timbalan pendakwa raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Media sebelum ini melaporkan dua beradik Muhammad Akil Syauqi Nur Sufyan, 3, dan adiknya Muhammad Luth Syauqi, 2, meninggal dunia selepas makan keropok mengandungi racun tikus.

Pada kejadian 7 Julai di kawasan kebun di Kampung Padang Ubi, Labu Besar dekat sini, kanak-kanak tersebut dipercayai mengambil peket keropok yang digantung pada dawai besi pagar kebun oleh pemilik kebun bagi memerangkap monyet.

Muhammad Akil Syauqi dilaporkan meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang (HPP) 10 Julai, manakala Muhammad Luth Syauqi meninggal dunia dua hari kemudian di hospital sama.

Jenazah dua beradik itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol Berangan, Baling.

Siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta 611 berkaitan pengabaian terhadap kanak-kanak dan Seksyen 284 Kanun Keseksaan.

-BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619