AGENDA

Pangsapuri mewah bernilai RM1 juta nanti pemenang emas Olimpik Paris

16 Jul 2024, 12:48 PM
Pangsapuri mewah bernilai RM1 juta nanti pemenang emas Olimpik Paris

KUALA LUMPUR, 16 JULAI: Pangsapuri servis mewah bernilai RM1 juta di Setia Alam menanti atlet negara pertama memenangi pingat emas di Sukan Olimpik Paris 2024 yang dijadualkan dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata Jawatankuasa Road To Gold (RTG) telah menerima tawaran daripada pemaju hartanah, Top Residency, yang berminat untuk menghadiahkan pemenang pingat emas pertama.

Beliau juga mengumumkan penajaan peribadi berjumlah RM1 juta daripada Pengerusi Eksekutif Senheng New Retail Bhd (Senheng) Lim Kim Heng kepada tiga pemain badminton negara, Aaron Chia, Soh Wooi Yik dan Chen Tang Jie yang pernah berada di bawah Program Bakat Badminton SS dari 2012 hingga 2016.

Sekiranya ada lebih daripada satu pemenang, wang tunai berkenaan akan dikongsikan sama rata antara mereka.

“Emas Olimpik adalah kebanggaan Malaysia. Jadi inilah platform untuk sektor swasta memainkan peranan mereka dalam memberi ganjaran kepada atlet apabila membawa pulang emas,” katanya pada sidang media mengumumkan insentif penajaan Sukan Olimpik Paris 2024 di sini, hari ini.

Beliau berkata ada beberapa lagi penaja telah menghubungi Jawatankuasa RTG dan kini menguruskan dokumen guaman bagi memastikan komitmen tawaran insentif itu jelas dan sahih.

Di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM), pemenang emas Sukan Olimpik akan menerima RM1 juta, perak (RM300,000) dan gangsa (RM100,000).

Atlet turut menerima Skim Imbuhan Tetap Olimpik yang diberikan secara bulanan sepanjang hayat dengan pemenang emas diberikan RM5,000, perak RM3,000 dan gangsa bernilai RM2,000.

Bulan lepas, Chery Malaysia mengumumkan ganjaran berupa sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) kepada pemenang pingat Olimpik iaitu Tiggo 8 Pro untuk pemenang pingat emas, Omoda E5 untuk pemenang perak dengan Tiggo 7 Pro untuk pemenang pingat gangsa.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619