ad
AGENSI

Tarik lapan juta pelancong, Tahun Melawat Selangor sedia lebih 60 acara

16 Jul 2024, 6:00 AM
Tarik lapan juta pelancong, Tahun Melawat Selangor sedia lebih 60 acara
Tarik lapan juta pelancong, Tahun Melawat Selangor sedia lebih 60 acara

SHAH ALAM, 16 JULAI: Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025) dijangka menarik lapan juta pelancong domestik dan antarabangsa dengan sasaran kutipan resit RM11.7 bilion.

Menurut Tourism Selangor, TMS2025 disasar menawarkan lebih 60 program dan acara dengan promosinya memberi penekanan khusus kepada beberapa segmen termasuk pelancongan eko, agro, seni dan budaya.

"Segmen lain termasuk pelancongan gastronomi (makanan), MICE (mesyuarat, insentif, persidangan, pameran) dan pelancongan pengalaman.

“Kempen TMS2025 merupakan hala tuju promosi pelancongan terbaharu yang akan menjalankan aktiviti promosi dalam skala yang besar untuk meningkatkan profil dan kemajuan industri pelancongan Selangor,” maklum agensi itu kepada Selangorkini.

[caption id="attachment_626027" align="alignnone" width="833"] Tourism Selangor mengadakan sesi niaga ke niaga (B2B) dengan kerjasama Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) dan Persatuan Pelancongan Asean sempena Forum Pelancongan Asean di Laos dari 22 hingga 26 Januari 2024. Foto ihsan Tourism Selangor[/caption]

Tourism Selangor memaklumkan pihaknya turut melaksanakan kajian seperti analisis pasaran bagi menentukan segmen pelancong berpotensi dan trend percutian semasa.

“Selain itu program latihan dan pendidikan pelancongan turut dilaksanakan untuk meningkatkan kemahiran dan kesedaran penggiat industri terhadap keperluan pelancong.

“Kalendar acara pelancongan dan festival yang mempunyai daya tarikan unik akan turut disediakan selain membuat persediaan dalam aspek keselamatan dan kebersihan di destinasi pelancongan dan kemudahan umum,” katanya.

Katanya, pemasaran dan promosi turut digiatkan menerusi pengiklanan, digital dan media sosial, siri promosi dalam dan luar negara, penganjuran acara pelancongan, jerayawara dan pameran.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sebelum ini melancarkan iklan panel belakang bas Smart Selangor yang mempromosi lokasi pelancongan menarik di seluruh negeri sempena TMS2025.

Kempen pengiklanan dengan peruntukn RM250,000 itu melibatkan promosi bagi sembilan daerah di Selangor dengan sokongan lima pihak berkuasa tempatan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.