ad
SELANGOR

Raja Muda berkenan santuni rakyat, lawat lokasi menarik Kuala Selangor

15 Jul 2024, 9:07 AM
Raja Muda berkenan santuni rakyat, lawat lokasi menarik Kuala Selangor
Raja Muda berkenan santuni rakyat, lawat lokasi menarik Kuala Selangor
Raja Muda berkenan santuni rakyat, lawat lokasi menarik Kuala Selangor
Raja Muda berkenan santuni rakyat, lawat lokasi menarik Kuala Selangor

SHAH ALAM, 15 JULAI: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor berkenan mencemar duli bertemu rakyat menerusi Program Eksplorasi Gagasan Rumpun Selangor di Kuala Selangor pada 11 hingga 12 Julai lalu.

Selangor Royal Office di Facebook memaklumkan Tengku Amir Shah berangkat ke mukim Jeram untuk santapan pagi dan menyantuni penduduk selain mencuba membuat putu piring.

Baginda kemudian berangkat ke Stadium Kuala Selangor bagi menyempurnakan perasmian Hari Potensi Tabika Kemas sebelum meneruskan lawatan ke makmal bioteknologi dan menikmati buahan di Selangor Fruits Valley, Bestari Jaya.

[caption id="attachment_652381" align="alignnone" width="820"] DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah menyapa seorang kanak-kanak ketika Program Eksplorasi Gagasan Rumpun Selangor di Kuala Selangor pada 11 hingga 12 Julai 2024. Foto Facebook Selangor Royal Office[/caption]

Tengku Amir seterusnya melawat perusahaan kecil dan sederhana, Colla Cattle Farm untuk melihat teknologi terkini penyembelihan lembu.

Siri jelajah Baginda disusuli dengan lawatan ke SMK Bukit Kuching Tengah bagi menyaksikan pameran Wau Kapal termasuk mendemonstrasi pembuatan wau Selangor itu dan menaikkannya ke udara.

Pada sebelah malam, Baginda berkenan dibawa ke Kampung Kuantan untuk menyaksikan kelip-kelip dan turut singgah ke Rumah Api Bukit Malawati.

[caption id="attachment_652382" align="alignnone" width="876"] DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah menyaksikan perlawanan bola sepak kanak-kanak ketika Program Eksplorasi Gagasan Rumpun Selangor di Kuala Selangor pada 11 hingga 12 Julai 2024. Foto Facebook Selangor Royal Office[/caption]

Pada Jumaat, Baginda berangkat ke Agroteknologi Park of Mardi di Tanjung Karang bagi menyantuni pesawah, menyampaikan sumbangan baja serta menaiki belon udara panas untuk menikmati pemandangan sekitar kampung.

Tengku Amir Shah turut berkenan menziarahi Makam Diraja Bukit Malawati sebelum menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Jannah Kampung Haji Razali, Tanjung Karang.

Gagasan Rumpun Selangor diperkenal bagi memperkukuh semangat perpaduan nasional dan sistem masyarakat di negeri ini.

[caption id="attachment_652383" align="alignnone" width="885"] DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah beraksi di depan kamera di Sky Mirror, Kuala Selangor ketika Program Eksplorasi Gagasan Rumpun Selangor di Kuala Selangor pada 11 hingga 12 Julai 2024. Foto Facebook Selangor Royal Office[/caption]

Pelaksanaannya meliputi enam agenda utama iaitu karnival dan eksplorasi, dasar, lagu perpaduan serta penstrukturan dan pemerkasaan institusi kepimpinan kampung.

Gagasan Rumpun Selangor telah menjelajah ke empat daerah bermula Februari lalu dimulakan dengan Hulu Selangor diikuti Hulu Langat, Sepang dan Petaling.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentang Belanjawan Selangor 2024 memperuntukan RM4.5 juta bagi menjayakan Gagasan Rumpun Selangor di sembilan daerah.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.