AGENDA

KDN pantau penerbitan al-Quran versi digital, braille - menteri

15 Jul 2024, 12:09 AM
KDN pantau penerbitan al-Quran versi digital, braille - menteri

KUALA NERUS, 15 JULAI: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan akan memantau setiap penerbitan al-Quran versi digital dan braille bagi mengelakkan berlaku sebarang kesilapan.

Menteri berkenaan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pihaknya akan segera mengambil tindakan jika terdapat sebarang kesalahan tanpa menunggu sehingga ia menjadi terlalu serius.

"Kita ambil ini sebagai tanggungjawab kita... maknanya kalau mereka (penerbit) hasilkan al-Quran digital sekali pun, Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN (PK KDN) ada keupayaan untuk menguruskannya.

"Saya yakin ia mampu mengurangkan sebarang potensi berlaku kecacatan dari segi penghasilan al-Quran versi digital... termasuk al-Quran versi braille," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Menteri Dalam Negeri Bersama Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran (LPPPQ) KDN di sini semalam.

Saifuddin Nasution juga berkata al-Quran yang diimport dari luar untuk tujuan edaran dalam negara juga tertakluk kepada Akta Percetakan Teks Al-Quran dan setakat Jun lepas, KDN telah merampas 3.2 juta naskhah al-Quran import yang tidak menepati standard ditetapkan Malaysia.

Pada program hari ini, beliau turut melancarkan Garis Panduan Penulisan Al-Quran Braille Standard Malaysia untuk memastikan keseragaman cetakan versi braille dengan versi biasa selain Sistem Tasheh yang menggunakan kemajuan teknologi untuk proses semakan pruf akhir.

Saifuddin Nasution juga berkata KDN akan mengubah sistem penggunaan senjata api oleh anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bagi mengekang salah guna senjata api tersebut.

"Senjata api selepas ini akan disimpan di stor senjata. Bila anggota nak bertugas, baru kita akan benarkan dia ambil," katanya.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619