AGENDA

Henti buli siber, SKMM, polis digesa ambil tindakan tegas

12 Jul 2024, 2:45 PM
Henti buli siber, SKMM, polis digesa ambil tindakan tegas

PUTRAJAYA, 12 JULAI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas terhadap kes membabitkan buli siber, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata Perdana Menteri menzahirkan rasa kecewa dalam kes buli siber yang membawa kepada kematian seorang pempengaruh TikTok baru-baru ini.

“Perdana Menteri telah menyatakan rasa cukup tidak puas hati beliau terhadap kejadian-kejadian buli siber dan beliau telah meminta supaya pihak SKMM dan PDRM mengambil tindakan yang sangat tegas.

“Kita perlu berusaha untuk menghentikan buli siber daripada berterusan,” katanya pada sidang media pascamesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini.

Fahmi berkata beliau telah berhubung dengan pihak TikTok dan meminta mereka bertanggungjawab atas insiden itu.

“Mereka bersedia untuk memberikan kerjasama yang erat dan baik kepada pihak Kementerian Komunikasi untuk mengatasi masalah ini dan mereka akan bertemu dengan kami minggu depan,” katanya sambil menambah SKMM dan PDRM juga bersetuju untuk meneliti serta memudahkan proses membuat laporan oleh pengadu berhubung isu buli siber.

Fahmi berkata dalam usaha menangani masalah buli siber di platform media sosial, Kementerian Komunikasi akan meneliti pindaan undang-undang sedia ada di bawah Kanun Keseksaan serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 selain undang-undang lain yang berkaitan.

Beliau berkata pihaknya juga akan meneliti jika terdapat keperluan bagi mewujudkan atau menggubal akta baharu khusus untuk buli siber.

“Sebelum ini pernah diadakan kaji selidik mengenai isu buli siber namun ia tidak diteruskan oleh kerajaan terdahulu.

“Saya telah menerima maklum balas daripada pihak Kementerian Komunikasi bahagian dasar bahawa laporan itu ada dan kita akan teliti semula... kita akan lihat sama ada sesuai untuk kita bawa semula ke Parlimen atau perlu penambahbaikan,” katanya.

Fahmi berkata pihaknya juga akan meneliti kaedah untuk mengurangkan akaun palsu terutama yang disalah guna bagi tujuan melakukan buli siber.

“Jadi ramai yang berpandangan kalau kita guna akaun palsu maka kita boleh katakan apa sahaja kepada sesiapa yang kita inginkan tanpa perlu berdepan sebarang kesan negatif.

“Jadi akhirnya yang kita lihat insiden paling ekstrem adalah apa yang berlaku baru-baru ini,” katanya merujuk kepada insiden seorang pempengaruh TikTok yang didakwa membunuh diri selepas tertekan akibat buli siber.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619