AGENDA

Bank Negara umum kekal kadar OPR tiga peratus, ekonomi negara terus kukuh

11 Jul 2024, 8:50 AM
Bank Negara umum kekal kadar OPR tiga peratus, ekonomi negara terus kukuh

KUALA LUMPUR, 11 JULAI: Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia hari ini memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus.

Bank pusat dalam satu kenyataan berkata ekonomi global terus berkembang berikutan keadaan pasaran pekerja yang berdaya tahan dan pemulihan perdagangan global yang berterusan.

"Pada masa hadapan, pertumbuhan global dijangka berkekalan kerana rintangan daripada dasar monetari yang ketat dan sokongan fiskal yang berkurangan akan diimbangi oleh keadaan pasaran pekerja yang positif serta inflasi terus menurun.

"Pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari terus menyokong ekonomi dan konsisten dengan penilaian semasa prospek inflasi dan pertumbuhan,” katanya.

BNM berkata perdagangan global terus mengukuh berikutan momentum peningkatan kitaran teknologi global yang berterusan manakala inflasi keseluruhan dan inflasi teras global terus menurun beberapa bulan kebelakangan ini dengan beberapa bank pusat mula melonggarkan dasar monetari mereka.

"Prospek pertumbuhan terus bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi perlahan, disebabkan terutamanya oleh ketegangan geopolitik yang semakin meruncing, inflasi sebenar lebih tinggi daripada jangkaan dan pasaran kewangan global yang tidak stabil,” kata bank pusat itu lagi.

Mengenai ekonomi Malaysia, BNM berkata, penunjuk terkini menunjukkan kegiatan ekonomi yang terus kukuh pada suku kedua 2024 didorong oleh perbelanjaan dalam negeri yang berdaya tahan dan prestasi eksport yang lebih baik.

Pada masa hadapan, eksport dijangka disokong selanjutnya oleh peningkatan kitaran teknologi global berikutan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan semikonduktor serta eksport barangan bukan elektrik dan elektronik yang terus kukuh.

Ketibaan dan perbelanjaan pelancong juga dijangka terus meningkat dan pertumbuhan guna tenaga dan upah yang berterusan serta langkah-langkah dasar akan terus menyokong perbelanjaan isi rumah.

"Aktiviti pelaburan akan disokong oleh projek berbilang tahun dalam sektor swasta dan awam yang sedang dijalankan, pelaksanaan inisiatif pemangkin di bawah beberapa pelan induk nasional serta lebih banyak pelaburan yang diluluskan kini direalisasikan.

"Prospek pertumbuhan bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi perlahan yang berpunca daripada permintaan luaran yang lebih lemah daripada jangkaan serta pengurangan besar pengeluaran komoditi,” katanya.

Sementara itu, pertumbuhan menjadi lebih tinggi disumbang terutamanya daripada limpahan peningkatan kitaran teknologi, aktiviti pelancongan yang lebih rancak serta pelaksanaan lebih pantas projek sedia ada dan projek baharu.

Selain itu bank pusat berkata inflasi keseluruhan dan inflasi teras berada pada purata 1.8 peratus dalam tempoh lima bulan pertama 2024 - seperti dijangka, inflasi akan lebih tinggi pada separuh kedua 2024 berikutan rasionalisasi subsidi diesel baru-baru ini.

"Bagaimanapun, kenaikan inflasi masih terkawal berikutan langkah-langkah pengurangan yang dilaksanakan bagi meminimumkan kesan kos terhadap perniagaan.

"Pada masa hadapan, risiko inflasi yang lebih tinggi akan bergantung pada sejauh mana kesan selanjutnya limpahan dasar dalam negeri terhadap subsidi dan kawalan harga untuk meluaskan trend harga serta perkembangan harga komoditi dan pasaran kewangan global,” katanya.

Bagi keseluruhan tahun ini BNM berpandangan inflasi keseluruhan dan inflasi teras dijangka berada dalam jajaran yang diunjurkan sebelum ini iaitu masing-masing antara 2.0 peratus hingga 3.5 peratus dan 2.0 peratus hingga 3.0 peratus.

Mengenai ringgit, BNM percaya mata wang tempatan itu akan terus dipengaruhi terutamanya oleh faktor luaran iaitu jangkaan hala tuju dasar monetari ekonomi utama serta ketegangan geopolitik yang berterusan.

Kesan positif daripada inisiatif terselaras oleh kerajaan dan BNM dengan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) serta libat urus syarikat korporat terus mengekang tekanan terhadap ringgit.

"BNM akan terus menangani risiko yang berpunca daripada ketidakstabilan pasaran kewangan yang ketara. Pada tempoh jangka sederhana, pembaharuan struktur dalam negeri akan memberikan sokongan yang berpanjangan kepada ringgit,” kata bank pusat.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619