AGENDA

Pelancaran bulan kebangsaan, kibar Jalur Gemilang di Cyberjaya 21 Julai ini

10 Jul 2024, 5:02 AM
Pelancaran bulan kebangsaan, kibar Jalur Gemilang di Cyberjaya 21 Julai ini

KUALA LUMPUR, 10 JULAI: Orang ramai dijemput memeriahkan majlis pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 yang berlangsung 21 Julai ini di Cyberjaya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual merasmikan acara itu di Cyber Event Hall, Cyberjaya pada 9 pagi, menurut poster publisiti yang dimuat naik di laman sosial Merdeka 360.

"Orang ramai dijemput hadir memeriahkan dan menyemarakkan lagi semangat cintakan negara. Terdapat pelbagai aktiviti menarik antaranya Karnival Kita Madani x HKHM 2024 dan aktiviti interaktif kenegaraan," menurut keterangan poster itu.

Sebelum ini Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil memaklumkan signifikan majlis pelancaran itu adalah bagi mengira detik menuju sambutan Hari Kebangsaan 2024 pada 31 Ogos di Putrajaya dengan momentum kemeriahan dan semangat patriotik akan terus disuburkan sehingga sambutan Hari Malaysia 2024 pada 16 September ini di Sabah.

Pada tahun ini, tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) ialah 'Malaysia Madani-Jiwa Merdeka' dengan Logo Malaysia Madani dipilih sebagai logo sambutan.

Fahmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk HKHM 2024 berkata pemilihan tema itu merupakan perlambangan kesepaduan secara holistik negara maju dan progresif menaungi rakyat yang berbilang kaum, bersatu hati dan teguh jati dirinya.

Beliau turut mengajak seluruh rakyat mengibarkan Jalur Gemilang melalui Inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang yang disifatkan bertepatan bagi menterjemah semangat patriotik dalam diri serta ahli keluarga.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619