AGENDA

Malaysia hantar nota diplomatik kepada PBB, tegaskan kedaulatan negara

7 Jul 2024, 10:29 AM
Malaysia hantar nota diplomatik kepada PBB, tegaskan kedaulatan negara

SEREMBAN, 7 JULAI: Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan mengesahkan Malaysia telah menyerahkan nota diplomatik kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menegaskan kedaulatan negara ini, susulan tuntutan Filipina terhadap Sabah.

Beliau berkata nota diplomatik itu juga turut menjelaskan kedaulatan negara yang merangkumi Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam Perlembagaan.

"Kita belum ada (terima) perkembangan … sebab Filipina membuat nota, kita pun buat nota. Ini hubungan diplomatik. Kita buat nota juga kepada PBB kerana ada nota dari Filipina menyatakan bahawa mereka mengambil kira sempadan laut dari Sabah.

"Bermakna mereka kata Sabah itu mereka punya … jadi, kita buat nota bantahan kepada PBB kerana penubuhan Sabah, kemerdekaan Sabah dan Sarawak dalam pembentukan Malaysia dibuat secara teratur, tersusun dan semua pemimpin bersetuju dan diperakui PBB," katanya kepada pemberita.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Rembau di sini hari ini.

Beliau berkata Malaysia ialah sebuah negara merdeka terdiri daripada Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak yang bergabung menjadi Malaysia yang berdaulat dan berharap pertikaian mengenai Sabah itu tidak menjejaskan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Media antarabangsa melaporkan, Malaysia menyerahkan nota diplomatik kepada Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres bagi menyatakan bantahan sekali gus menolak tuntutan Filipina terhadap Sabah.

"Pekara ini biarlah diputuskan di peringkat antarabangsa, kemungkinan sampai ke Mahkamah Antarabangsa, itu terpulang. Malaysia sebuah negara berdaulat, tiada siapa sewenang-wenangnya mengatakan bahawa satu daripada wilayah Malaysia itu merupakan wilayah mereka," kata Mohamad.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619