AGENDA

Syor tambah baik pentadbiran mahkamah syariah dibincang dalam mesyuarat pertama JKSK

6 Jul 2024, 12:54 AM
Syor tambah baik pentadbiran mahkamah syariah dibincang dalam mesyuarat pertama JKSK
Syor tambah baik pentadbiran mahkamah syariah dibincang dalam mesyuarat pertama JKSK

SEPANG, 6 JULAI: Syor menambah baik fungsi pengurusan dan pentadbiran mahkamah syariah di seluruh negara antara perkara dibincang dalam Mesyuarat Kali Pertama Jawatankuasa Kehakiman Syariah Kebangsaan (JKSK) yang berlangsung di sini selama dua hari dan berakhir hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dato' Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata mesyuarat juga akan mengesyorkan untuk menambah hierarki mahkamah syariah sedia ada kepada empat peringkat berbanding tiga ketika ini iaitu mahkamah rendah, mahkamah tinggi dan mahkamah rayuan.

"Besar harapan saya agar mesyuarat JKSK menjadi ruang kepada penambahbaikan mahkamah syariah secara keseluruhannya.

"Kerajaan Madani yang menerajui pemerintahan negara sangat komited dalam usaha memperkasakan sistem kehakiman dan perundangan syariah," katanya kepada media selepas Sesi Khas Pertemuan dan Amanat bersama ahli JKSK di sini malam tadi.

[caption id="attachment_567428" align="alignleft" width="500"] Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar menyampaikan ucapan pada majlis perhimpunan bulanan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pada 31 Januari 2023. Foto BERNAMA[/caption]

Beliau berkata syor atau perkara yang dibincang dalam mesyuarat itu akan diangkat menjadi resolusi untuk dibentangkan ke Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

"Resolusi akan dibawa ke MKI yang seterusnya akan diperkenan oleh Majlis Raja-Raja... jadi semua isu berkaitan kehakiman mahkamah syariah boleh diselaraskan," katanya.

JKSK adalah jawatankuasa di bawah MKI yang diperkenan oleh Majlis Raja-Raja dan pada Februari lalu, nama ahli jawatankuasa diangkat untuk perkenan Pengerusi MKI ketika itu, DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Baginda telah memperkenan pelantikan ahli jawatankuasa yang terdiri daripada enam pakar undang-undang dan ahli akademik serta 14 wakil dari setiap negeri yang terdiri daripada Ketua Hakim Mahkamah Syariah Negeri.

Mesyuarat Kali Pertama JKSK diadakan bagi mempertemukan ahli serta membincangkan gerak kerja, hala tuju dan menetapkan terma rujukan.

Penubuhan JKSK adalah langkah signifikan dalam usaha memperkukuh serta memperkembang perundangan syariah di Malaysia dan secara khusus berperanan meningkatkan serta memartabatkan sistem kehakiman syariah secara holistik selaras dengan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan dan usaha berterusan kerajaan untuk mempertingkat bidang kuasa, status serta kewibawaan mahkamah syariah.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619