AGENDA

Kempen cabutan merdeka PTPTN tawar wang tunai RM100,000

5 Jul 2024, 5:04 AM
Kempen cabutan merdeka PTPTN tawar wang tunai RM100,000

KUALA LUMPUR, 5 JULAI: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM100,000 untuk semua pendeposit Simpan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN), melalui Kempen Cabutan Siri WOW! Merdeka 2024.

PTPTN memaklumkan penganjuran kempen bermula sejak 1 Julai hingga 31 Ogos itu terbuka kepada pendeposit Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus dengan hadiah utama berjumlah RM10,000 ditawarkan kepada seorang pemenang manakala sagu hati RM500 untuk 180 pemenang.

Menurut PTPTN, usaha perbadanan itu dalam membudayakan penabungan selari dengan tema hari Kebangsaan bagi 2024 iaitu ‘Malaysia Madani: Jiwa Merdeka’.

"Penganjuran kempen ini adalah usaha dalam memupuk budaya menabung dalam kalangan ibu bapa di peringkat awal usia anak-anak bagi tujuan pendidikan tinggi.

“Ini sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman pendidikan. Apabila anak-anak dewasa kelak, mereka telah ‘merdeka’ daripada membuat pinjaman pendidikan untuk menyambung pengajian” menurut PTPTN dalam kenyataan hari ini.

PTPTN memaklumkan pendeposit yang membuat simpanan bersih RM50 bagi Simpan SSPN Prime akan mendapat satu cabutan manakala setiap simpanan bersih RM50 untuk akaun Simpan SSPN Plus pula layak memperoleh dua cabutan secara automatik.

“Lebih menarik, kelebihan cabutan berganda juga diberikan kepada pengguna myPTPTN. Pendeposit Simpan SSPN Prime yang membuat simpanan bersih RM50 melalui myPTPTN atau melalui potongan gaji atau debit terus, akan mendapat lima cabutan.

“Pendeposit Simpan SSPN Plus yang membuat simpanan bersih RM50 melalui myPTPTN atau melalui potongan gaji atau debit terus pula akan mendapat sepuluh cabutan,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Pengerusi PTPTN Datuk Norliza Abdul Rahim berkata pendeposit bakal menikmati pelbagai keistimewaan dan manfaat menerusi Simpan SSPN selain berpeluang memenangi hadiah lumayan sepanjang menyertai kempen berkenaan.

“Masyarakat Malaysia perlu mengambil peluang menghayati erti sebenar sebuah kemerdekaan kerana kemerdekaan itu bukanlah sekadar berkisar tentang sejarah dan perjuangan semata-mata” katanya.

Berdasarkan rekod, sehingga 31 Mei 2024, deposit Simpan SSPN yang diterima adalah berjumlah RM18.4 bilion dengan akaun sebanyak 6.4 juta.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my selain memuat naik aplikasi myPTPTN untuk urusan pembukaan akaun dan penambahan simpanan secara dalam talian dengan lebih mudah, cepat serta selamat.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619