AGENDA

Kerajaan beri jaminan kuota bumiputera lanjut pengajian ke matrikulasi kekal

1 Jul 2024, 3:30 AM
Kerajaan beri jaminan kuota bumiputera lanjut pengajian ke matrikulasi kekal

PUTRAJAYA, 1 JUL: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberi jaminan bahawa kerajaan mengekalkan kuota bumiputera lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi melanjutkan pengajian ke peringkat matrikulasi.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kuota itu tetap dikekalkan kerana ia termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang melibatkan kedudukan istimewa orang Melayu serta kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak.

“Kita ambil jalan yang kita anggap adil dan munasabah, kalau dia (pelajar) itu rakyat dan warga kita, kita harus pelihara tapi kita juga terima kenyataan mengenai meritokrasi, jadi tanpa mengira kaum dan wilayah, dapat 10A kita beri jaminan tempat dalam matrikulasi.

“Kuota bumiputera tetap dikekalkan kerana ini keputusan yang sudah lama berkait dengan Perlembagaan, jaminan masa depan bumiputera (dan) Melayu supaya tidak berlaku kesenjangan, jadi penjawat awam harus faham, meritokrasi kita pertahankan, tapi keadilan juga kita pertahankan,” kata beliau ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini.

Semalam, Anwar mengumumkan semua lepasan SPM yang mendapat keputusan 10A ke atas tanpa mengira kaum dan wilayah akan ditawarkan peluang melanjutkan pengajian pada peringkat matrikulasi bermula tahun ini. Ia merupakan keputusan yang dipersetujui Jemaah Menteri pada mesyuarat Jumaat lepas.

Anwar berkata walaupun keputusan itu memberikan pengiktirafan pada kecemerlangan tanpa mengira kaum dan latar belakang, namun kerajaan pada masa sama tegas mempertahankan kuota bumiputera.

“Saya percaya perkara ini akan dijelaskan dengan lebih teliti hari ini. Fadhlina (Sidek) (Menteri Pendidikan) akan cerakinkan secara lebih jelas,” kata beliau.

Beliau berharap pengumuman berkaitan jaminan tempat matrikulasi kepada calon cemerlang SPM tanpa mengira kaum atau latar belakang itu akan membantu negara mengiktiraf setiap calon warganegara yang cemerlang dalam peperiksaan berkenaan.

“Sesiapa dapat 10A tanpa mengira kaum dan wilayah, kita (kerajaan) berikan jaminan tempat di matrikulasi. Maka, kita ambil jalan yang kita anggap adil dan munasabah,” kata Perdana Menteri.

Anwar berkata keputusan itu menggambarkan bahawa kerajaan Madani amat prihatin dan mahu negara lebih maju dengan mengutamakan prinsip kesaksamaan yang menjadi moto dalam pentadbiran negara.

“Bidang pendidikan ialah wahana terbaik untuk mencapai mobiliti sosial. Yang terbaik, terpintar, paling cemerlang harus diberikan galakan tetapi jangan dipinggirkan yang miskin,” kata beliau.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619