AGENDA

PKNS manfaat karnival promosi produk, anjur pelbagai aktiviti dekati masyarakat

30 Jun 2024, 4:30 AM
PKNS manfaat karnival promosi produk, anjur pelbagai aktiviti dekati masyarakat
PKNS manfaat karnival promosi produk, anjur pelbagai aktiviti dekati masyarakat
PKNS manfaat karnival promosi produk, anjur pelbagai aktiviti dekati masyarakat

SHAH ALAM, 30 JUN: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Pilih Karnival yang berlangsung selama dua hari bermula semalam menjadi platform perbadanan itu mendekati orang ramai menerusi pelbagai aktiviti selain mempromosikan produk kepada umum khususnya, di Shah Alam.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan) PKNS Md Kamarzan Md Rais berkata selain berhibur bersama keluarga, penganjuran program di Dataran Kemerdekaan Shah Alam itu bertujuan menyebarluaskan maklumat mengenai produk hartanah PKNS.

Beliau berkata PKNS turut memperkenal dan mempromosikan tiga produk yang telah dilancarkan tahun ini iaitu projek perumahan Antara Gapi di Serendah, projek taman perindustrian hijau (GRIP) dan projek perumahan Puteri Ariana 2, masing-masing di Kota Puteri, Rawang.

“Menerusi karnival ini juga, kita turut memperkenalkan projek keempat iaitu sebanyak 218 unit projek Aludra di Selangor Cyber Valley (SCV) di Cyberjaya yang bakal dilancarkan Julai ini dengan harga jualan bermula RM555,000.

"Sepuluh pembeli terawal yang membuat tempahan dengan mengisi borang pembelian rumah semasa dua hari karnival berlangsung akan menerima baucar barangan elektrik jenama Samsung bernilai RM2,000,” katanya kepada pemberita selepas perasmian karnival tersebut di sini, malam tadi.

Katanya pelaksanaan program tersebut juga seiring dengan sasaran PKNS untuk meningkatkan jualan produk mereka iaitu selaras dengan pembangunan projek hartanah bernilai lebih RM1 bilion tahun ini.

Dalam pada itu, Md Kamarzan berkata dijangkakan sebanyak 12 produk akan diperkenalkan PKNS tahun ini termasuk tiga yang dilancarkan sebelum ini.

Mengulas lanjut, Md Kamarzan memaklumkan aktiviti seperti larian santai lima kilometer serta persembahan daripada artis popular antaranya Tomok, Amir Masdi, Amir Jahari dan Pretty Ugly turut diadakan semalam bagi menambahkan kemeriahan sepanjang dua hari karnival yang bermula dari pagi sehingga malam.

“Karnival ini turut dimeriahkan dengan jualan makanan dan kenderaan saji, zoo haiwan jinak, permainan kanak-kanak, lukisan muka, belon panas, zumba, zoo mini, pameran automotif dan cabutan bertuah,” katanya.

Beliau berkata karnival itu dijadual dilaksanakan di empat kawasan dengan Kota Puteri menjadi lokasi selanjutnya iaitu pada 27 dan 28 Julai, Antara Gapi (24 dan 25 Ogos) serta SCV pada 28 dan 29 Sept depan.

Orang ramai boleh melayari laman sesawang PKNS di www.pkns.gov.my untuk mendapatkan info lebih lanjut mengenai projek-projek hartanah PKNS.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619