AGENDA

Pindaan Akta Penagih Dadah 1983 percepat proses rawatan, pemulihan

30 Jun 2024, 1:20 AM
Pindaan Akta Penagih Dadah 1983 percepat proses rawatan, pemulihan

NIBONG TEBAL, 30 JUN: Pindaan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983, yang diharap dapat dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat kali ini, akan mengangkat kedudukan pegawai pemulihan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam bidang itu, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata ini kerana melalui pindaan itu, mereka yang datang secara sukarela ke pusat pemulihan untuk rawatan, akan dirujuk terus kepada pegawai pemulihan AADK yang kemudian melakukan pemeriksaan ujian air kencing dan seterusnya mengesahkan sama ada mereka memerlukan rawatan ataupun tidak.

“Berbanding sebelum ini, undang-undang menghendaki AADK untuk menghantar mereka (penagih) kepada pegawai perubatan yang dianggap mempunyai kepakaran dan legitimasi untuk membuat pemeriksaan ujian air kencing dan seterusnya mengesahkan mereka ini benar memerlukan (rawatan).

“Itu perbezaannya, dan rasional untuk melakukan anjakan paradigma ini adalah kerana pegawai AADK juga mempunyai 41 tahun pengalaman (berkaitan dadah) dan terlatih menerusi kaedah pensijilan yang diiktiraf mengikut standard piawaian antarabangsa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Xpresi Generasi Kita: Solidariti Bersama Dadah anjuran AADK di sini malam tadi.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK Khairul Anwar Bachok.

Sehubungan itu, beliau yakin jika pindaan itu diluluskan ia akan mempercepatkan proses rawatan dan pemulihan kepada penagih dadah, kerana tiada lagi karenah birokasi yang merimaskan perlu dilalui, selain akan mendorong lebih ramai lagi individu untuk tampil secara sukarela mendapatkan rawatan.

“Saya hanya memerlukan majoriti mudah untuk ia diluluskan dalam Dewan Rakyat, seperti yang berlaku apabila pembubaran Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) diluluskan baru-baru ini dengan 93 Ahli Parlimen menyokong dan 63 lagi menentang,” katanya.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619