AGENDA

Juruterbang, pelatih selamat, pesawat ringan mendarat cemas

27 Jun 2024, 12:21 PM
Juruterbang, pelatih selamat, pesawat ringan mendarat cemas

SHAH ALAM, 27 JUN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor mengesahkan dua kru pesawat ringan Piper PA-28-161 yang melakukan pendaratan cemas di satu kawasan lapang dekat Pelabuhan Klang hari ini selamat.

Pengarah JBPM Selangor Wan Md Razali Wan Ismail berkata kejadian petang tadi itu melibatkan juruterbang Rolando Barba Jr dan pelatih juruterbang Muhammad Ridz Farhan Ridzwan.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.13 petang dan menggerakkan tiga jentera bersama lima pegawai dan 17 anggota ke lokasi kejadian bagi misi penyelamatan.

"Bomba tiba di lokasi kejadian pada 4.42 petang dan pemeriksaan ke atas pesawat oleh Pegawai Operasi Negeri Mustakim Rimon mendapati pesawat dengan nombor pendaftaran 9M-ANA itu tidak menunjukkan tanda-tanda kebakaran.

"Juruterbang dan pelatih juruterbang juga dilaporkan selamat dalam kejadian tersebut," katanya melalui satu kenyataan di sini hari ini.

Wan Md Razali berkata operasi penyelamatan melibatkan tiga balai bomba iaitu Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Klang Utara, BBP Pelabuhan Klang serta BBP Klang Selatan.

Terdahulu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memaklumkan pesawat yang dikendalikan Kelab Penerbangan Subang itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah pada 2.50 petang sebelum menara kawalan Subang menerima panggilan kecemasan pada 2.58 petang.

Susulan itu, Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautika Kuala Lumpur (KLARCC) di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) telah diaktifkan pada 3.10 petang setelah menerima maklumat bagi tujuan koordinasi operasi mencari dan menyelamat.

Menurut CAAM, siasatan akan dijalankan di bawah Bahagian XXIII Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619