AGENDA

Dua lelaki maut ditembak dipercayai mahu merompak, edar dadah

26 Jun 2024, 9:47 AM
Dua lelaki maut ditembak dipercayai mahu merompak, edar dadah

GEORGE TOWN, 26 JUN: Dua lelaki yang ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di Jalan Permatang Baru, Sungai Lokan di Butterworth dekat sini hari ini dipercayai dalam perjalanan melakukan rompakan atau mengedar dadah.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata terdahulu, sepasukan polis Bahagian Siasatan Khas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang sedang menjalankan tugas terserempak dengan Perodua Myvi di persimpangan Jalan Pokok Sena dan Jalan Permatang Baru, Sungai Dua, dekat sini dalam keadaan mencurigakan pada 2.05 pagi.

"Pasukan polis menghampiri kereta itu dan mengarahkan pemandunya memberhentikan kenderaan untuk pemeriksaan, namun pemandunya bertindak memecut (kenderaan) melarikan diri sambil melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis.

"Polis mengejar kereta dinaiki dua lelaki itu sejauh dua kilometer sebelum kenderaan itu terbabas. Ketika (polis) mahu membuat pemeriksaan, suspek melepaskan tembakan menyebabkan polis terpaksa membalas tembakan bagi mempertahankan diri," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini.

Beliau berkata selepas keadaan reda, polis menjalankan pemeriksaan dan mendapati pemandu serta penumpang hadapan masing-masing berusia 41 dan 51 tahun meninggal dunia akibat terkena tembakan.

Hamzah berkata pemeriksaan menemukan dua pistol jenis Glock dan .38 Smith & Wesson serta 176 peluru di dalam kereta dengan dipercayai senjata api itu diperoleh dari negara jiran.

“Semakan mendapati Perodua Myvi itu adalah kenderaan dilaporkan dicuri dan cukai jalan tamat tempoh sejak 2021.

“Dua lelaki itu masing-masing mempunyai 12 dan 13 rekod lampau berkaitan jenayah dan siasatan lanjut sedang dilakukan sama ada mereka anggota geng kongsi gelap," katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619