AGENDA

Bulan Pemutihan antara usaha galak majikan carum Perkeso

24 Jun 2024, 10:47 AM
Bulan Pemutihan antara usaha galak majikan carum Perkeso
Bulan Pemutihan antara usaha galak majikan carum Perkeso

SHAH ALAM, 24 JUN: Pelaksanaan Bulan Pemutihan merupakan antara usaha kerajaan menggalakkan majikan mencarum skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) terhadap pekerja.

Menteri Sumber Manusia Sim Chee Keong berkata setakat 24 Jun seramai 13,525 majikan berdaftar menerusi program itu melibatkan 240,467 pekerja.

[caption id="attachment_571901" align="alignleft" width="348"] Menteri Sumber Manusia Sim Chee Keong[/caption]

"Kita ambil pendekatan berhemah supaya majikan tampil daftar dan carum untuk pekerja mereka, kita tidak kenakan apa-apa tindakan.

"Ini satu kejayaan Perkeso dan kementerian, matlamat utama kita bukan nak menghukum sesiapa tetapi menyedia dan beri perlindungan sosial kepada pekerja," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan beberapa ahli parlimen ketika membahaskan pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerja di sidang Parlimen ke-15 hari ini.

Perkeso melaksanakan Bulan Pemutihan bermula 1 Mei hingga 30 Jun ini bagi memberi lebih peluang kepada majikan untuk mendaftarkan dan mencarum pekerja mereka secara sukarela.

Majikan akan dikecualikan daripada tindakan pengkompaunan, pendakwaan dan Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) walaupun telah melewati tempoh mendaftar dan mencarum yang ditetapkan.

Chee Keong menambah, pihaknya juga melakukan pemeriksaan secara berjadual terhadap majikan dengan kerjasama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan operasi bersepadu melibatkan agensi dan jabatan kementerian.

"Kita juga menjalankan operasi mega bersepadu iaitu Ops Benteras Buruh Paksa bersama imigresen, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN), KWSP, polis dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.

"Selain itu mengadakan publisiti dan promosi di media sosial, mengedar flyer dan poster serta menjalankan program pendidikan ke seluruh negara melibatkan majikan dan pekerja," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619