AGENDA

Penjawat awam rugi hampir RM150,000 jadi mangsa penipuan cinta

23 Jun 2024, 9:42 AM
Penjawat awam rugi hampir RM150,000 jadi mangsa penipuan cinta

BANDAR PERMAISURI, 23 JUN: Seorang penjawat awam wanita kerugian RM148,200 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan percintaan dalam talian, awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Setiu DSP Mohd Zain Mat Dris berkata mangsa, 51, dan berstatus ibu tunggal itu, membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut semalam.

“Mangsa mendakwa ketika melayari Facebook pada awal Jun, telah menerima mesej di Messenger daripada satu profil lelaki bernama Azli bin Ahmad, yang menggunakan gambar seorang juruterbang. Mereka kemudian berhubung di WhatsApp untuk berkenalan dengan lebih rapat.

“Suspek kemudiannya menawarkan penghantaran berupa bungkusan hadiah kepada mangsa seperti beg tangan, jam tangan, kasut dan duit bernilai USD10,000, untuk disedekahkan kepada anak yatim. Ia juga sebagai tanda persahabatan antara mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zain berkata pada 14 Jun, mangsa dihubungi seorang individu mendakwa sebagai ejen penghantaran yang menyatakan terdapat masalah berkait bungkusan yang dihantar kepadanya dan meminta mangsa membuat pembayaran duti import dan kos penghantaran, untuk melepaskan bungkusan tersebut.

“Bermula 14 Jun lepas hingga semalam, mangsa telah membuat 23 transaksi ke akaun berlainan berjumlah RM148,200.

“Mangsa juga diugut untuk membuat bayaran selepas dikatakan terlibat dengan pelbagai aktiviti jenayah lain dan akan diambil tindakan sekiranya tidak membuat bayaran. Takut dengan ugutan tersebut, menyebabkan mangsa mengikut segala tipu daya berkenaan sehingga mengalami kerugian,” katanya.

Mohd Zain berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan pihaknya sedang mengumpul bukti untuk tujuan pendakwaan, selain tindakan mengesan dan menangkap suspek giat dijalankan.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619