SELANGOR

Tawar ganjaran RM6,000 individu temui 'Ujin'

18 Jun 2024, 7:15 AM
Tawar ganjaran RM6,000 individu temui 'Ujin'

IPOH, 18 JUN: Pemilik burung kakak tua menawarkan ganjaran RM6,000 kepada individu yang menemui burung miliknya itu selepas hilang sejak enam hari lalu.

Muhammad Haziq Aminuddin, 30, berkata, burung diberi nama Ujin itu hilang selepas dikejar burung helang ketika aktiviti terbang bebas yang dilakukan di kawasan sawah padi berhampiran kilang beras di Changkat Lada, Seberang Perak 12 Jun lalu.

Menurutnya, ketika kejadian, burung itu terbang ke arahnya namun melarikan diri selepas panik dikejar seekor burung helang yang berada di lokasi berkenaan.

"Sesiapa yang menemui burung ini tolonglah pulangkan sebab kalau tidak dijaga dengan baik ia akan mati. Hubungi saya jika terjumpa burung kakak tua ini," katanya, lapor Sinar Harian.

Muhammad Haziq berkata, aktiviti terbang bebas itu bukanlah pertama kali dilakukan kerana lebih 20 kali dilakukan untuk melatih burung itu pulang sendiri selain memberi kebebasan kepada haiwan tersebut.

Menurut pemilik ladang kelapa sawit itu, pada kaki burung kakak tua tersebut diletakkan penanda yang tertera nombor telefonnya supaya mudah dihubungi sesiapa yang menemuinya.

Jelasnya, burung kakak tua itu satu-satunya burung yang dipelihara kerana minat dan menjadikan aktiviti bersama haiwan tersebut sebagai hobi.

Dia menjelaskan hebahan mengenai kehilangan haiwan tersebut sudah pun dibuat menerusi pelbagai platform media sosial selain turut mendapat bantuan daripada rakan-rakan yang memelihara burung jenis sama.

Katanya setakat ini laporan polis terhadap kehilangan tersebut belum dibuat dan jika masih belum ditemui dalam masa terdekat, dia akan berbuat demikian.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619