AGENDA

Lapor KPDN jika harga telur tidak berubah selepas pengumuman PM

17 Jun 2024, 10:12 AM
Lapor KPDN jika harga telur tidak berubah selepas pengumuman PM

PUTRAJAYA, 17 JUN: Orang ramai diminta melaporkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) jika harga telur ayam di pasaran didapati masih tidak berubah walaupun selepas kerajaan mengumumkan penurunan harganya hari ini.

Timbalan Pengerusi Persatuan Pergerakan Pengguna Malaysia Beninder Singh berkata adalah menjadi tanggungjawab peniaga untuk mematuhi arahan itu (penurunan harga telur), jika tidak mahu berdepan tindakan undang-undang.

“Pengguna digalakkan untuk terus buat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya peniaga didapati (masih) menjual harga tinggi daripada harga kawalan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengumumkan perkara berkenaan pagi ini berkata harga runcit bagi telur ayam gred A, B dan C masing-masing kini turun kepada 42 sen, 40 sen dan 38 sen sebiji berkuat kuasa hari ini.

Beliau berkata kerajaan memutuskan harga runcit telur ayam gred A, B dan C di seluruh negara diturunkan 3 sen sebiji selaras usaha mengembalikan hasil penjimatan penyasaran subsidi kepada rakyat.

Anwar yang juga menteri kewangan berkata penampungan subsidi keperluan makanan rakyat 10 sen bagi sebiji telur ayam itu melibatkan perbelanjaan RM100 juta, manakala pada tahun 2023 peruntukan subsidi telur ayam adalah sebanyak RM927 juta.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Saravanan Thambirajah berkata pengumuman kerajaan itu amat dialu-alukan terutamanya apabila ia dapat memanfaatkan pengguna dari pelbagai latar belakang berbeza.

“Memang bagus penurunan harga ini kerana telur merupakan sumber nutrisi yang penting kepada pengguna, tetapi pihak berkaitan perlu membuat pemeriksaan bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan telur di sesetengah tempat,” katanya.

Beliau berkata pihak peniaga juga perlu peka dengan kesedaran pengguna mengenai harga barangan, justeru mereka perlu mengambil langkah berkaitan untuk mengelakkan impak undang-undang seperti tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Pengguna boleh mendapatkan maklumat mengenai aspek penguatkuasaan menerusi https://www.kpdn.gov.my/ms/soalan-lazim/penguatkuasaan/penguatkuasaan-akta-kawalan-harga-dan-anti-pencatutan.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) Datuk Jawahar Ali Taib Khan pula berkata pihaknya berterima kasih kepada kerajaan atas penurunan harga telur di seluruh negara.

“Kita menyambut baik pengumuman Perdana Menteri hari ini dan diharapkan kerajaan dapat mempertimbangkan supaya lebih banyak barangan keperluan asas dapat diturunkan harga.

“Ia merupakan sesuatu yang positif dan dapat membantu para pengguna khususnya pengusaha restoran mengurangkan kos, sekali gus mengekalkan harga semasa,” katanya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619