AGENDA

'Kebas' duit konsert lebih RM200,000, perunding acara didakwa

14 Jun 2024, 4:29 AM
'Kebas' duit konsert lebih RM200,000, perunding acara didakwa

KUALA LUMPUR, 14 JUN: Seorang perunding pengurusan acara mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengambil wang milik syarikat berhubung penganjuran konsert lebih RM200,000 untuk kegunaannya sendiri, tahun lepas.

Rabiatul Adawiyyah Izzaddin, 33, didakwa telah mengambil wang milik syarikat Mission Sight Sdn Bhd berjumlah RM237,370 bagi menguruskan konsert 'Goyang Asi Koplo Milenia' namun gagal berbuat demikian, sebaliknya menggunakan wang itu untuk kegunaan sendiri.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di padang Equestrian, Bukit Kiara di Brickfields di sini antara 7 Mac hingga 15 Mei 2023 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan atau penjara maksimum lima tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aiman Azahan menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin manakala peguam Bernard Francis mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya mempunyai empat orang anak dan keadaan kewangan yang tidak stabil kerana suami tertuduh telah muflis.

Hakim Azrul Darus membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, artis Riezman Khuzaimi yang juga merupakan penganjur konsert itu ketika ditemui pemberita berkata beliau berasa lega apabila tertuduh dihadapkan ke mahkamah selepas berbulan-bulan perkara itu terjadi.

-BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619