AGENDA

Lelaki larikan kereta di stesen minyak ceroboh rumah, tertidur sebelum diberkas

5 Jun 2024, 12:15 PM
Lelaki larikan kereta di stesen minyak ceroboh rumah, tertidur sebelum diberkas

BENTONG, 5 JUN: Lelaki yang disyaki melarikan kereta jenis Honda City 1.5L V di sebuah stesen minyak di Jalan Semambu, Kuantan pada Isnin sempat menceroboh sebuah rumah di Kampung Chinta Manis, Karak dan tertidur hampir tiga jam di rumah itu sebelum diberkas polis tengah malam tadi.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata lelaki tempatan berusia 40 tahun itu yang sedang nyenyak tidur di ruang tamu ditahan kira-kira 12.45 tengah malam selepas polis menerima maklumat daripada pemilik rumah berkenaan.

Beliau berkata pemilik rumah yang tinggal bersama isteri dan tiga anaknya itu memaklumkan bahawa terdapat lelaki tidak dikenali telah datang ke rumahnya dan terus masuk ke dalam rumah kira-kira 10 malam lalu mengurung mereka dalam sebuah bilik.

“Lelaki terbabit kemudian tertidur di ruang tamu sebelum pemilik rumah menghubungi pihak polis. Dengan penahanan ini, kes tular yang berlaku pada 3 Jun lepas (Isnin) telah dapat diselesaikan.

“Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah dan mempunyai enam rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong hari ini.

Yahaya berkata dengan penahanan itu juga, polis berjaya mengesan semula kereta Honda City terbabit di pasar awam di Karak, iaitu lokasi kenderaan itu ditinggalkan sebelum lelaki berkenaan menumpang orang awam ke Kampung Chinta Manis.

“Polis sedang menyiasat lanjut mengapa suspek menukar nombor plat kereta dan kemudian meninggalkan kereta di pasar. Kereta itu tidak rosak, cuma terdapat kesan calar pada beberapa bahagian selepas tampalan poster dikikis suspek bagi mengelak dikesan.

“Selain itu, suspek turut mengaku terlibat dalam kes kecurian motosikal yang digunakan dalam kejadian sebelum melarikan kenderaan terbabit,” katanya.

Beliau berkata polis merampas sejumlah barangan daripada lelaki itu antaranya satu jam tangan jenama Lashida, satu jam tangan jenama Bonia, dua gunting, dua pisau lipat serta sarung kepala.

Lelaki itu katanya kini direman hingga esok bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 379A dan Seksyen 448 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Pada Isnin, seorang pesara guru wanita melalui detik cemas apabila dilarikan seorang lelaki tidak dikenali menggunakan kereta milik anaknya dalam kejadian di stesen minyak di Jalan Semambu, kira-kira 3.10 petang.

Sebelum kejadian itu, mangsa, Napisah Muhammad, 68, bersama suaminya, Mohamed Halim Omar, 77 dan anak perempuannya yang merupakan seorang akauntan yang juga pemilik kenderaan terbabit berhenti di stesen minyak itu untuk mengisi minyak serta ke tandas.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619