AGENDA

Terbuka Indonesia: Jun Hao singkir pemain tuan rumah Jonatan Christie

5 Jun 2024, 11:17 AM
Terbuka Indonesia: Jun Hao singkir pemain tuan rumah Jonatan Christie

KUALA LUMPUR, 5 JUN: Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao terus melakar kejutan apabila mengetepikan cabaran pemain ranking ketiga dunia dari Indonesia Jonatan Christie pada pusingan pertama Terbuka Indonesia 2024 hari ini.

Pemain di ranking ke-32 dunia itu bagaimanapun dipaksa bermandi peluh dalam pertarungan 62 minit di Stadium Istora, Senayan di Jakarta dengan meraih kemenangan set pertama 21-13 sebelum tewas pada set kedua 16-21 untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.

Di set penentuan, Jun Hao mempamerkan permainan cukup baik dengan mengutip satu persatu mata untuk mendahului di depan Christie sebelum menoktahkan kemenangan 21-12 dalam pertemuan kali pertama kedua-dua pemain itu.

Menanti Jun Hao di pusingan kedua antara Chou Tien Chen dan Lin Chun Yi dari Taiwan yang akan bertemu dalam satu lagi aksi pusingan pertama hari ini.

Dalam pada itu, nasib tidak menyebelahi dua beregu negara iaitu beregu wanita, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien dan beregu campuran Yap Roy King-Valeree Siow apabila terkandas seawal pusingan pertama kejohanan bertaraf Super 1000 itu hari ini.

Vivian-Chiew Sien tewas 17-21 dan 18-21 kepada beregu Hong Kong Yeung Nga Ting-Yeung Pui Lam sementara Roy King-Valeree tewas 21-19, 13-21, 18-21 kepada beregu China Jiang Zhenbang-Wei Yaxin.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619