BUDAYA

Menjadi Ayah

2 Jun 2024, 12:45 AM
Menjadi Ayah

cantiknya mencerminkan alam. merdunya, menempel pada siang dan malam. kali pertama ia menyusur di lorong hati, seri terpantul sampai ke langit, sampai ke angan-angan hari tua. terbentur dari kudratmu, maka lengkaplah sejambak tubuh. sesudah sembilan bulan tidur, bulan sembilan ia mengenal umur.

lihat hari ini, burung-burung terbang rendah, mungkin mengintai syurga yang baru tumbuh di telapak kakimu. aku malah meredah seluruh gelora kepala, mencari bintang tujuh, mencari arah, mencari nama, dan yang terakhir kuingat, menjadi yang pertama melekat sebagai bukti bahawa kita pernah bercinta.

tanganku bergulat menahan janggal. mendukung kenyataan di antara peristiwa baru dan hari-hari seterusnya. merasa berat bumi, betapa berat hari. telah tiba masanya untuk kita mengerti, hadirnya bukan main-main. sebentuk wujud kebesaran, keagungan, namun segala puji bagi Tuhan, mengapa tuan tersenyum?

mengecap sampai ke dasar, hatiku laut pasang. sejenak terpecah lalu melekat di tebaran karang. menikmati sekelumit girang. menikmati warna-warna. tidak menanyakan esok hari apa, tanggal berapa. cukup begini saja, kadang-kadang bergelumang dengan rengek kecilnya yang menebar gema di seluruh bahagia.

kautahu apa yang sedang aku bayangkan? beberapa tahun lagi mataku bukan lagi rumah sunyi, jambangan suara tumbuh mekar menghiasi dinding-dinding kaku. malah jika kututup pintu sekalipun, masih kedengaran suara anak kecil yang sedang merungut, dan tawa ayah melihat ibu yang sedang berkerut.

 

Jed Stellarose

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619