ad
AGENDA

Empat warga asing ditahan ceroboh pusat hidrografi Pulau Indah

29 Mei 2024, 5:13 AM
Empat warga asing ditahan ceroboh pusat hidrografi Pulau Indah

SHAH ALAM, 29 MEI: Empat lelaki warga asing ditahan kerana disyaki menceroboh kawasan pintu utama Pusat Hidrografi Nasional (PHN) di Pulau Indah, Klang dekat sini pada Ahad lepas.

Kesemua mereka yang berumur antara 21 hingga 36 tahun itu ditahan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang sedang bertugas ketika berlegar-legar di jalan berhadapan pintu masuk utama PHN.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong berkata pihaknya menerima panggilan daripada pegawai bertugas di PHN pada 8 malam, 26 Mei lepas berhubung kejadian itu sebelum mengarahkan anggota kereta peronda yang berdekatan ke lokasi kejadian.

Beliau berkata siasatan lanjut mendapati kesemua suspek ditahan anggota TLDM selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan dengan berlegar-legar di jalan berhadapan pintu masuk utama PHN dan berpura-pura mengambil gambar.

“Suspek ditahan anggota TLDM yang kemudiannya memaklumkan kepada polis untuk tangkapan dan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya kesemua suspek direman tiga hari sehingga hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana kesalahan pencerobohan.

Cha berkata siasatan turut dijalankan mengikut Akta Imigresen 1959/63 bagi mengesahkan ketulinan pasport, permit dan pergerakan keluar masuk kesemua suspek ke Malaysia.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.