AGENDA

Pemandu lori ditahan ubah suai tangki seleweng diesel bersubsidi

29 Mei 2024, 3:00 AM
Pemandu lori ditahan ubah suai tangki seleweng diesel bersubsidi

PUTRAJAYA, 29 MEI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi dengan cara mengubah suai lori yang disertakan tangki tambahan untuk mengisi bahan api terbabit dalam serbuan di Ipoh, Perak, Jumaat lepas.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam berkata serbuan menerusi Ops Tiris 3.0 terhadap sebuah lori di sebuah stesen minyak itu dilakukan selepas melihat lori berkenaan sedang mengisi minyak diesel dalam keadaan mencurigakan dan dalam tempoh lama.

"Modus operasi ialah menggunakan lori yang diubah suai dengan tangki tambahan dan mengisi minyak diesel di beberapa stesen minyak sebelum minyak diesel dikumpulkan dan diedar di pasaran gelap," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan terhadap keseluruhan lori menemukan 1,700 liter minyak diesel di dalam sebuah tangki tambahan dalam ruangan muatan lori terbabit yang bersambung dengan tangki asal kenderaan itu.

Susulan itu, pihaknya menyita lori berserta tangki tambahan itu yang berisi minyak diesel, hos paip, motor pam, beberapa dokumen berkaitan serta peralatan lain yang, kesemuanya dianggar bernilai RM23,655.

Azman berkata seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun yang juga pemandu lori ditahan bagi membantu siasatan kes yang dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).

Beliau berkata pihaknya juga sedang mengenal pasti individu atau syarikat lain yang terlibat dalam aktiviti itu serta rantaian pengedaran minyak diesel berkenaan.

Syarikat itu juga katanya akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619