AGENDA

KBS hasrat rancak program Rakan Muda di setiap daerah, perkukuh perpaduan

25 Mei 2024, 9:30 AM
KBS hasrat rancak program Rakan Muda di setiap daerah, perkukuh perpaduan

MELAKA, 25 MEI: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan merancakkan pelaksanaan program Rakan Muda di semua daerah dalam usaha memperkukuh perpaduan dan integrasi nasional menerusi penganjuran program dan aktiviti khusus untuk belia dan anak muda.

Menterinya Hannah Yeoh berkata menerusi dana tambahan sebanyak RM3 juta yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika merasmikan sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2024 hari ini, KBS akan menyelaraskan perkara itu bersama Majlis Belia Malaysia (MBM) bagi menjalankan program berkaitan.

"HBN kali ini adalah tahun kedua kita bekerjasama dengan MBM yang terlibat sebagai penganjur dan KBS hanya memantau pelaksanaan sambutannya. Ini adalah usaha kita dalam memperkasakan MBM secara terus untuk terlibat sama dalam penganjuran dan bukannya sebagai pemerhati," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian sambutan HBN2024 peringkat kebangsaan di Dataran Pahlawan, Bandar Hilir di sini hari ini.

Mengulas lanjut Hannah berkata penganjuran sambutan HBN itu diyakini dapat memperkukuh potensi modal insan belia sebagai pemacu pembangunan strategik negara dan memperluas akses belia kepada inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan seiring dengan kerangka Malaysia Madani dan Model Pembangunan Belia Madani 2030 (MPBM 2030).

Dalam pada itu, beliau berkata pemilihan pemenang bagi Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) adalah sangat inklusif kerana melibatkan pelbagai golongan di seluruh negara dan telah dinilai serta dipilih oleh panel yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing sebelum dipersetujui oleh Jawatankuasa Pengesahan Pemenang APBN.

Terdahulu dalam ucapannya beliau berkata kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM5 juta untuk pelaksanaan HBN pada tahun ini meliputi pelaksanaan sebanyak 3,107 aktiviti dengan penyertaan seramai 2.5 juta peserta di seluruh negara.

"Antara aktiviti yang dijalankan adalah seperti Bacaan Ikrar Belia Malaysia pada 15 Mei yang lalu, Semarak HBN, Konvensyen Belia Integriti Nasional, Khutbah Jumaat semua negeri, sambutan HBN di negeri-negeri dan kebangsaan dalam memastikan belia kita mendapat akses kepada maklumat dan program pembangunan belia di peringkat akar umbi," katanya.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619