AGENDA

Jasad Presiden Iran, mangsa lain dibawa ke tempat persemadian para syuhada di Tabriz

20 Mei 2024, 12:04 PM
Jasad Presiden Iran, mangsa lain dibawa ke tempat persemadian para syuhada di Tabriz

TEHRAN, 20 MEI: Presiden Persatuan Bulan Sabit Merah Iran (IRCS), Pir-Hossein Kolivand mengumumkan bahawa jasad Presiden Iran, Ebrahim Raisi, dan mangsa nahas helikopter yang lain sedang dibawa ke Tabriz, barat laut Iran.

Operasi mencari dan menyelamat berskala besar berakhir apabila jenazah dihantar ke sebuah lokasi di wilayah Azerbaijan Timur, tempat persemadian para syuhada Tabriz, lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA) yang memetik kenyataan Kolivand dalam siaran televisyen pada Isnin.

Ebrahim Raisi, Presiden kelapan Iran, maut selepas helikopter yang membawa beliau dan rombongan terhempas di wilayah Varzaqan di Azerbaijan Timur pada Ahad.

Mengulas mengenai situasi terkini operasi mencari dan menyelamat, Kolivand berkata pasukan pakar IRCS berada di kawasan itu sejak Ahad, namun cuaca buruk dan kabus tebal menghalang proses pencarian.

Akhirnya, pada awal pagi Isnin pasukan penyelamat berjaya menemukan lokasi nahas, katanya.

Raisi dalam penerbangan pulang bersama Menteri Luar Hossein Amirabdollahian dan beberapa yang lain daripada satu majlis perasmian empangan di sempadan Iran dengan Azerbaijan apabila helikopter dinaiki mereka terhempas semasa hendak mendarat di wilayah Varzaqan pada Ahad.

-- BERNAMA-IRNA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619