AGENDA

Empat sungai di Selangor dikesan jadi habitat ikan pemangsa

17 Mei 2024, 1:31 PM
Empat sungai di Selangor dikesan jadi habitat ikan pemangsa

PUTRAJAYA, 17 MEI: Beberapa sungai utama di Selangor dikesan menjadi habitat ikan pemangsa (invasif) dan juga dikenali sebagai "alien spesies" (spesies asing) berdasarkan program inventori yang dijalankan oleh Jabatan Perikanan Selangor serta maklum balas daripada nelayan darat.

Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) memaklumkan spesies invasif berkenaan mula mengancam populasi ikan tempatan seperti ikan kelah, temoleh, jelawat, lampam, tengalan, kerai, terbul, sebarau, baung serta udang galah yang selama ini mendiami perairan berkenaan.

Pengarah Perikanan Selangor Noraisyah Abu Bakar berkata beberapa sungai yang dikesan menjadi habitat spesies invasif ialah Sungai Klang, Sungai Langat, Sungai Selangor dan Sungai Bernam serta di beberapa tasik juga kolam takungan.

"Ikan spesies invasif seperti baung ekor merah, peacock bass dan pacu mempunyai keupayaan membiak serta boleh membesar dengan cepat dan terus berkembang. Sebahagian ikan-ikan ini juga boleh bertahan pada keadaan air yang tercemar seperti ikan keli Afrika dan ikan bandar raya (ikan pleco)," menurut kenyataan itu.

DOF memaklumkan antara faktor dikenal pasti menjadi punca lambakan ikan invasif disebabkan ritual keagamaan dan membayar nazar serta yang dibawa masuk bagi tujuan hobi atau dibela dalam akuarium namun kemudian dilepaskan oleh segelintar pihak tidak bertanggungjawab ke sistem saliran tempatan apabila tidak lagi mampu memelihara.

Jabatan itu memaklumkan pihaknya tidak pernah melarang atau menyekat sesiapa untuk melakukan upacara nazar namun dengan syarat tidak melepaskan ikan invasif ke perairan umum.

Menurut beliau, semua pihak yang berhasrat untuk melepaskan ikan ke perairan umum diminta mendapatkan khidmat nasihat Pejabat Perikanan Daerah terdekat dan DOF menggalakkan pelepasan ikan tempatan ke perairan umum seperti ikan lampam asli, udang galah, baung dan sebagainya.

Bagi individu yang tidak lagi mampu untuk memelihara ikan asing itu diminta berhubung terus dengan Jabatan Perikanan terdekat bagi membuat serahan untuk pengendalian sewajarnya.

DOF juga menyeru semua pihak serta mana-mana individu agar tidak sewenang-wenangnya melepaskan anak-anak ikan atau ikan-ikan yang tergolong dalam ketegori ikan pemangsa.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619