ad
AGENSI

Liga usahawan OKU bantu peserta tingkat potensi, tambah ilmu niaga

16 Mei 2024, 6:00 AM
Liga usahawan OKU bantu peserta tingkat potensi, tambah ilmu niaga
Liga usahawan OKU bantu peserta tingkat potensi, tambah ilmu niaga
Liga usahawan OKU bantu peserta tingkat potensi, tambah ilmu niaga

SUBANG JAYA, 16 MEI: Penyertaan dalam Liga Usahawan Orang Kurang Upaya (OKU) Selangor (SAY LEAD) membantu usahawan mengembang perniagaan ke peringkat lebih tinggi.

Pengusaha produk minuman kesihatan, Ahmad Anda Ismail, 51, berkata setelah diberhenti kerja pada 2021 beliau buntu kerana hilang punca pendapatan selain mengalami sakit tulang belakang yang menyukarkan pergerakan.

“Saya usaha juga untuk pulih dan buat sendiri produk minuman kesihatan berasaskan kunyit yang kaya khasiatnya. Jualan ketika itu hanya di aplikasi WhatsApp dan hanya kecil-kecilan.

“Selepas saya jumpa program SAY LEAD, saya masuk kelas dan didedahkan dengan pelbagai perkara dan sekarang ini sekurang-kurangnya 30 botol minuman kesihatan dapat dihasilkan sehari.

“Jika dulu hanya dari rumah, tetapi sekarang saya sudah letak di kedai dan selepas ini bercadang mohon sijil halal untuk memasarkan produk dengan lebih luas,” kata johan pusingan akhir SAY LEAD edisi kelima ketika ditemui semalam.

[caption id="attachment_643114" align="alignnone" width="916"] Pemenang tempat pertama Pusingan Akhir Liga Usahawan OKU Selangor edisi kelima (SAY LED) Ahmad Anda Ismail. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI[/caption]

Sementara itu pengasas produk kuih raya jenama Raisya Cookies, Mahmud Rasul berkata menerusi SAY LEAD beliau nampak peluang lebih besar dan meluas dalam bidang perniagaan.

“Jika dulu saya meniaga tanpa bimbingan, sekarang ini baru saya tahu pelbagai perkara berkaitan pengurusan perniagaan yang sangat penting jika mahu kembangkan perniagaan ke peringkat lebih tinggi.

“Walaupun produk saya kini sudah berada di beberapa outlet stesen Petronas menerusi SAY LEAD saya ada sasaran untuk membuka kedai sendiri kerana sekarang ini masih beroperasi di rumah,” kata pemenang naib johan pusingan akhir SAY LEAD edisi kelima.

[caption id="attachment_643113" align="alignnone" width="1074"] Pemenang tempat kedua Pusingan Akhir Liga Usahawan OKU Selangor edisi kelima (SAY LED) Mahmud Rasul. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI[/caption]

Terdahulu, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menobatkan tiga usahawan OKU sebagai Ikon Usahawan OKU Selangor.

Tiga peserta itu dinobatkan pada pusingan akhir SAY LEAD edisi kelima hari ini mengatasi tujuh peserta lain yang diadili Tengku Amir bersama empat juri lain.

Johan menjadi milik Ahmad Anda sementara naib johan Mahmud dan tempat ketiga Sazman Nazlee Adha Mohd Ali (syarikat fotografi).

Pemenang menerima piala dan sijil pengiktirafan Selangor Youth Community (SAY) serta geran perniagaan berjumlah RM4,000 (juara), RM3,000 (naib juara) dan RM2,000 (ketiga).

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.