AGENDA

Disyaki pengedar, pegawai khidmat pelanggan ditahan bersama 35 kg ganja

15 Mei 2024, 9:15 AM
Disyaki pengedar, pegawai khidmat pelanggan ditahan bersama 35 kg ganja

SUBANG, 15 MEI: Seorang pegawai khidmat pelanggan di sebuah syarikat perkapalan direman tujuh hari sehingga Jumaat ini, selepas disyaki terbabit dalam sindiket pengedaran dadah di Subang Jaya dan Petaling Jaya, sejak awal tahun ini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat berkata lelaki berusia 32 tahun itu, ditahan di Jalan USJ4/1 Subang Jaya pada 11.20 malam Jumaat lepas dan hasil pemeriksaan, menemukan dadah jenis ganja seberat 210 gram (g), yang disembunyikan di dalam beg suspek.

“Susulan penahanan suspek, membawa kepada serbuan di sebuah rumah disyaki milik keluarganya di Petaling Jaya dan menemukan dadah jenis ganja dengan anggaran berat 35,762g.

“Nilai keseluruhan rampasan dadah berjumlah RM111,640, selain sebuah kereta dan motosikal yang disyaki digunakan untuk membuat penghantaran dadah kepada pelanggan, serta merampas wang tunai RM1,270,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di sini, hari ini.

Wan Azlan berkata suspek yang bergerak secara sendirian itu, memperoleh bekalan dadah daripada orang tengah yang dipercayai dari negara jiran, sebelum membungkus semula dadah terbabit dalam paket kecil untuk dijual kepada pelanggan pada harga RM300 bagi setiap 10 gram dadah.

Beliau berkata hasil saringan ujian air kencing mendapati, suspek positif dadah jenis ganja dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Dadah Berbahaya (Perlucutan Harta) 1988,” katanya.

Sementara itu, Wan Azlan berkata bagi tempoh 1 Jan hingga semalam, seramai 901 individu ditahan membabitkan rampasan 53.5 kilogram dan 0.5 liter pelbagai jenis dadah, dengan nilai rampasan keseluruhan RM618,463.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619