AGENDA

21 penumpang bas persiaran cedera, kemalangan berhampiran Terowong Menora

12 Mei 2024, 12:43 PM
21 penumpang bas persiaran cedera, kemalangan berhampiran Terowong Menora

IPOH, 12 MEI: Seramai 21 penumpang bas persiaran cedera selepas bas dinaiki terbabas dan terbalik selepas bergesel dengan sebuah kereta dalam kemalangan di Kilometer 264.5 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Terowong Menora di sini pagi ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya dihantar ke lokasi selepas menerima panggilan pada 7.28 pagi.

“Semua mangsa termasuk pemandu kereta selamat dan difahamkan bas dinaiki warga emas itu dalam perjalanan dari Kupang, Kedah menuju ke Ipoh bagi menghadiri majlis keagamaan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata siasatan awal mendapati nahas berlaku apabila kereta dipandu lelaki warga tempatan berumur 44 tahun dalam perjalanan dari Kulim, Kedah menghala ke Ipoh dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bas yang berada di lorong kiri.

“Kereta melanggar bahagian sisi kanan belakang bas dan kemudian berpusing 360 darjah serta sekali lagi melanggar bahagian hadapan kanan bas mengakibatkan bas hilang kawalan dan terbabas ke dalam longkang di bahu kiri jalan.

“Akibat nahas itu, 39 mangsa iaitu penumpang bas berumur antara sembilan hingga 80 tahun dihantar ke Hospital Raja Permasuri Bainun (HRPB) dan Klinik Greentown untuk rawatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata 21 mangsa cedera dan kini dirawat di HRPB manakala 20 lagi termasuk kedua-dua pemandu kereta dan bas tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Jong Pit Chiao di talian 016-8849163 atau tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619