AGENDA

Ibu gigih bawa anak hidap cerebral palsy ulang-alik hospital terima Anugerah Inspirasi Ibu

12 Mei 2024, 8:35 AM
Ibu gigih bawa anak hidap cerebral palsy ulang-alik hospital terima Anugerah Inspirasi Ibu

MELAKA, 12 MEI: Pengorbanan Rahamah Mohtar, 61, yang gigih berulang-alik ke hospital selama bertahun-tahun ternyata membuahkan hasil apabila anak bongsu daripada lapan beradik, Ahmad Mujahid Azmi, 21, yang menghidap cerebral palsy kini mampu berdikari dan menguruskan diri.

Ibu kepada lapan cahaya mata itu berkata kelahiran Ahmad Mujahid yang merupakan kembar itu nyata menyuntik semangat luar biasa untuk mengharungi kehidupan di sebalik ujian berat yang terpaksa ditempuhinya.

"Apabila Ahmad Mujahid disahkan mengalami cerebral palsy, doktor cakap anak ini perlu dijaga seumur hidup kerana dia tak boleh berjalan dan bercakap. Namun saya tak berputus asa.

"Selama 20 hari dalam sebulan saya akan bawa Ahmad Mujahid menjalani fisioterapi di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, Selangor sehingga dia mampu berjalan dan bertutur ketika dia berusia tiga tahun dan rawatan susulan di hospital sama," katanya selepas menerima Anugerah Inspirasi Ibu pada Majlis Sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan 2024 di sini hari ini.

Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan merasmikan program berkenaan yang turut dihadiri isteri Yang Dipertua Negeri Melaka Toh Puan Asmah Ab Rahman.

Pada majlis berkenaan, Raja Permaisuri Agong turut berkenan menyampaikan Anugerah Inspirasi Ibu kepada Rahamah.

Rahamah berkata beliau berperang dengan emosi hampir setiap hari apabila Ahmad Mujahid beralih ke fasa dewasa apabila minda anaknya itu masih 'terperangkap' dengan kehidupan kanak-kanak.

Beliau berkata gangguan emosi dialami anaknya kesan daripada fasa peralihan itu menyebabkan Ahmad Mujahid mudah tantrum dan mengamuk sehingga menyebabkan orang kampung berasa takut dengan kehadirannya.

"Saya juga berasa tertekan dengan situasi berkenaan namun selepas menghadiri beberapa sesi kaunseling dengan pelbagai agensi, Alhamdulillah saya diberi panduan bagaimana menguruskan Ahmad Mujahid.

"Antaranya dengan membawa Ahmad Mujahid berjumpa pakar psikiatri dan mengambil ubat tertentu bagi mengelakkan dia mengalami gangguan emosi berlebihan," katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619