AGENDA

KPM perkasa sistem prasekolah, kurikulum seiring keperluan zaman

10 Mei 2024, 1:45 PM
KPM perkasa sistem prasekolah, kurikulum seiring keperluan zaman

NIBONG TEBAL, 10 MEI: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memperkasakan sistem pendidikan negara, selaras dengan titah Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail yang mahukan langkah lebih proaktif dalam meningkatkan sistem dan kualiti sektor itu.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata inisiatif berkenaan termasuk menubuhkan enam pasukan petugas khas KPM bagi menambah baik sistem prasekolah, intervensi kurikulum, memperkukuh Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta pendidikan digital.

Beliau menjelaskan petugas khas yang ditubuhkan itu turut meliputi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pengukuhan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

"Dalam pada itu, inisiatif intervensi kurikulum juga sedang giat berjalan bagi memastikan keciciran pembelajaran dapat ditangani.

“Untuk jangka panjang, kementerian telah melancarkan kerangka Kurikulum Persekolahan 2027 yang holistik dan relevan dengan keperluan semasa dan masa hadapan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival HIP Peringkat Negeri Pulau Pinang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana Indah di sini hari ini.

Fadhlina berkata KPM merafak sembah titah Tunku Mahkota Ismail yang turut menyentuh beberapa perkara melibatkan reformasi pendidikan negara, ketika merasmikan pembukaan Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 semalam.

Tunku Mahkota Ismail bertitah kerajaan Persekutuan perlu mengambil langkah lebih proaktif dalam usaha meningkatkan sistem dan kualiti pendidikan negara, selain perubahan penting perlu dilaksanakan dengan membaharui sukatan pelajaran yang digunakan pada masa ini.

-- BERNAMA

 

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619