AGENDA

Malaysia kekal pendirian tak benar syarikat berdaftar di Israel jalan aktiviti dalam negara

7 Mei 2024, 9:51 AM
Malaysia kekal pendirian tak benar syarikat berdaftar di Israel jalan aktiviti dalam negara

PUTRAJAYA, 7 MEI: Malaysia kekal dengan pendirian untuk tidak membenarkan mana-mana syarikat berdaftar di Israel untuk menjalankan sebarang aktiviti di negara ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tiada syarikat Israel yang dibenarkan masuk atau beroperasi di Malaysia sejak Kerajaan Perpaduan mengambil alih pentadbiran negara.

“Tak ada, kita tak benarkan. Ingat, tahun 2002, yang benarkan kapal Israel masuk adalah Tun Dr Mahathir Mohamad semasa jadi Perdana Menteri.

“Itu diteruskan sehingga kita batalkan, itu pendirian kita,” kata beliau kepada media selepas Majlis Peluncuran Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 di sini hari ini.

Beliau mengulas gesaan Dr Mahathir agar kerajaan segera mengusir dua syarikat yang didakwa membekalkan senjata kepada tentera rejim Zionis iaitu Lockheed Martin dan BAE System yang kini berada di Malaysia untuk Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 di ibu negara.

Pameran DSA dan NASTEC Asia 2024 berlangsung selama tiga hari bermula semalam di Pusat Pameran Perdagangan Antarabangsa (MITEC), Kuala Lumpur.

Dr Mahathir dalam catatan di laman media sosial menggesa Kementerian Pertahanan agar mengarahkan kedua-dua syarikat pembekal senjata untuk segera keluar dari Malaysia.

Beliau berkata kedua-dua syarikat adalah pembekal senjata terbesar kepada rejim Zionis yang melakukan serangan dan pengeboman ke atas rakyat Palestin sejak 7 Okt tahun lepas.

Dr Mahathir mendakwa tindakan membenarkan kehadiran syarikat sedemikian memperolok dan mempersenda segala usaha negara menentang kekejaman rejim Tel Aviv seolah-olah bersekongkol dengan mereka untuk menumpahkan darah rakyat Palestin termasuk bayi dan kanak-kanak.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619