AGENDA

Pasukan khas ditubuh siasat pemain bola sepak Terengganu disamun

5 Mei 2024, 6:01 AM
Pasukan khas ditubuh siasat pemain bola sepak Terengganu disamun

KUALA TERENGGANU, 5 MEI: Polis menubuhkan sebuah pasukan khas bagi menyiasat kes samun pemain bola sepak Terengganu FC (TFC) Akhyar Rashid.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata polis akan menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengesan suspek kejadian itu yang dipercayai lebih daripada dua orang.

"Polis juga telah membuat pemeriksaan ke atas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan terbabit, dua saksi juga dipanggil membantu siasatan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis serah tugas Ketua Polis Terengganu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini hari ini.

Bagaimanapun Azli berkata setakat ini belum ada maklumat yang dapat membantu mengesan suspek.

Beliau turut meminta orang ramai supaya tidak membuat spekulasi dan menularkannya di media sosial bagi mengelak menganggu siasatan.

Akhyar dilaporkan cedera di kepala dan kaki selepas diserang dua penyamun pada Khamis lepas.

Sementara itu bekas Pengarah Seksyen Pelaksanaan Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) Datuk Mohd Khairi Khairudin dilantik Ketua Polis Terengganu yang baharu menggantikan Datuk Mazli Mazlan yang akan bertukar ke Nadma.

Mohd Khairi berkata beliau bertekad untuk mengekalkan keamanan dan memastikan kadar indeks jenayah yang rendah di Terengganu selain memperkukuh kerjasama serta jaringan hubungan dengan masyarakat.

"Saya juga akan menggunakan pengalaman ketika di Nadma untuk menguruskan bencana banjir di Terengganu," katanya.

-BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619