AGENDA

Pelari menara negara tawan puncak Taipei 101, dinobat juara dunia

5 Mei 2024, 12:10 AM
Pelari menara negara tawan puncak Taipei 101, dinobat juara dunia

KUALA LUMPUR, 5 MEI: Pelari menara Malaysia Soh Wai Ching muncul juara Kejohanan Larian Menara Dunia di puncak Taipei 101 di Taiwan, semalam.

Atlet berusia 30 tahun itu, yang sebelum ini menamatkan perlumbaan pada tempat ketiga pada edisi 2018, merangkul kejuaraan itu dengan masa keseluruhan 18 minit dan 36.62 saat pada kejohanan itu yang menarik 6,000 penyertaan.

Wai Ching melengkapkan 91 tingkat pada pusingan pertama (ketinggian 390 meter (m)) dalam 11:35.61s dan melakukan 7:1.01s (ketinggian 256m) pada pusingan kedua.

Atlet Jepun Ryoji Watanabe merekodkan 18:40.04s dan Mark Bourne dari Australia (9:33.12) masing-masing memperoleh tempat kedua dan ketiga, menurut laman web rasmi kejohanan.

Presiden Persatuan Larian Menara Malaysia Ravinder Singh dalam kenyataan berkata Malaysia telah meraih pencapaian signifikan dalam sukan itu selepas Wai Ching dinobatkan sebagai Juara Dunia yang baharu.

"Perjalanan ke puncak menjadi bukti kepada dedikasi dan sikap konsistennya, dalam kemuncak kerjayanya sejak 2020. Selepas empat tahun mengekalkan prestasi cemerlangnya, beliau merangkul kejayaan tertinggi sukan ini," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Larian Menara Dunia Daniel Cecetka berkata beliau tertarik dengan idea untuk Malaysia menganjurkan Kejohanan Dunia seterusnya pada 2026.

"Kuala Lumpur, dengan pemandangan bangunan tinggi yang indah dan berada pada ranking ketujuh dengan bangunan berketinggian lebih 300 m paling banyak, merupakan lokasi ideal untuk menganjurkan acara larian menara yang lebih besar.

"Prospek ini menjanjikan kemajuan dan populariti berterusan sukan itu di Malaysia," katanya dalam kenyataan sama.

 

Keputusan melibatkan atlet Malaysia lain:

Lelaki:

11. Muhammad Hazim Zuhairi bin Azahari - 21:43.78s

16. Saddam Pittli – 23:32.33s

43. Ravinder Singh - 50:08.02s

Wanita:

7. Tan Bee Kiang - 26:35.07

10. Nurul Juliana Shakira Abdul Halim - 27:38.40s

21. Valerie Sarah Ong - 32:26.25z

26. Chan Yee Chin – 37:25.75s

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619