AGENDA

Inspektor polis ditahan kerja disyaki lakukan amang seksual terhadap remaja perempuan

28 Apr 2024, 7:30 AM
Inspektor polis ditahan kerja disyaki lakukan amang seksual terhadap remaja perempuan

JOHOR BAHRU, 28 APRIL: Pegawai polis berpangkat inspektor yang ditahan selepas disyaki melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 16 tahun pada 22 April lepas akan dikenakan tindakan tahan kerja.

Ketua Polis Johor CP M Kumar berkata tempoh reman lelaki berusia 29 tahun itu bermula 23 April lepas tamat hari ini dan dia akan dibebaskan dengan jaminan polis.

“Suspek dalam proses tindakan tahan kerja dan surat tahan kerja akan diedar selepas mendapat arahan daripada Bukit Aman.

“Tindakan tahan kerja akan dikenakan sehingga mendapat keputusan kes di mahkamah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

Lelaki terbabit ditahan di sekitar Seri Alam, di sini pada 22 April selepas laporan polis dibuat mangsa pada hari sama kejadian dipercayai berlaku di kawasan Taman Johor Jaya, di sini.

Beliau berkata lelaki itu yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619